Chiang Rai: Sebuah keluarga di Thailand terpaksa meminta bantuan unit penyelamat untuk menggali semula kubur seorang individu di wilayah paling utara, Chiang Rai, baru-baru ini, selepas menyedari mereka tersilap mengebumikan orang lain.
Memetik laporan Mothership, situasi itu terbongkar pada 24 Januari lalu apabila ahli keluarga yang disangka meninggal dunia tiba-tiba muncul di hadapan mereka.
Menurut laporan Khaosod Online, kepulangan mengejut lelaki terbabit berlaku selepas “majlis pengebumiannya” selesai dijalankan oleh keluarga yang berduka.
Sebelum kejadian, keluarga dan saudara-mara lelaki berusia 48 tahun itu percaya bahawa mangsa sudah meninggal dunia di Chiang Mai, utara Thailand.
Berdasarkan kepercayaan itu, mayat yang disangka ahli keluarga mereka dibawa pulang ke rumah untuk upacara keagamaan pada 9 Januari lalu, sebelum dikebumikan.
Bagaimanapun, selepas mangsa pulang dalam keadaan sihat, keluarga berkenaan segera menghubungi unit penyelamat untuk mengeluarkan semula mayat yang sudah ditanam.
Media Thailand tidak menjelaskan secara terperinci punca utama keluarga berkenaan tersilap mengenal pasti identiti individu terbabit sebagai ahli keluarga mereka.
Beberapa imej yang tular di saluran YouTube Thailand turut memaparkan lokasi tapak perkuburan di mana mayat yang salah itu dikebumikan.
Susulan penggalian semula itu, mayat berkenaan diserahkan kepada waris sebenar untuk upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.
Rentetan insiden itu, siasatan dilancarkan bagi mengenal pasti punca ralat semasa proses mengenal pasti si mati bagi mengelak kejadian serupa berulang pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




