London: Pemain Manchester United, Patrick Dorgu, dijangka terpaksa berehat selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan dramatik 3-2 ke atas Arsenal di Stadium Emirates, Ahad lalu.
Pemain berusia 21 tahun itu, yang meledak gol kedua United dari luar kotak penalti, terpaksa dikeluarkan pada minit-minit akhir perlawanan.
Pengurus sementara, Michael Carrick, pada awalnya berharap ia sekadar kekejangan otot.
Namun, kecederaan itu disahkan lebih serius daripada jangkaan awal, walaupun sumber memaklumkan pemain antarabangsa Denmark itu masih menjalani penilaian lanjut dan tempoh sebenar ketiadaannya belum dapat dipastikan.
Dorgu, yang menyertai United sebagai pemain sayap kiri dari kelab Itali, Lecce setahun lalu, tampil cemerlang di posisi serangan sebelah kiri di bawah kendalian Carrick.
Dia turut menjaringkan gol dalam kemenangan ke atas Manchester City sebelum ini.
Manchester United mempunyai lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum rehat antarabangsa pada Mac, di mana Dorgu dijangka akan dipanggil menyertai skuad Denmark bagi aksi playoff Piala Dunia.
Ketiadaan Dorgu berpotensi membuka ruang lebih besar kepada Matheus Cunha, yang bermula di bangku simpanan dalam dua perlawanan terakhir United, tetapi muncul penjaring gol kemenangan ketika menentang Arsenal.
Kecederaan Dorgu menjadi cabaran pertama buat Carrick sejak mengambil alih tugas di Old Trafford, selepas pasukan menunjukkan peningkatan ketara.
Sebelum ini, Dorgu bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama selepas perpindahan dari Lecce pada Februari 2025, namun prestasinya melonjak sejak Carrick menggantikan Ruben Amorim yang dipecat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




