ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan menimbang pindaan baharu kepada Kanun Keseksaan bagi menjadikan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), termasuk penghasilan imej intim sintetik, penyamaran digital dan automated grooming sebagai jenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sistem undang-undang jenayah negara perlu melalui pembaharuan supaya kekal relevan dalam mendepani perubahan teknologi.
Menurut Azalina, pembaharuan amat penting kerana landskap jenayah kini kebanyakannya bersifat digital dan semakin sukar dikesan.
Katanya, kerajaan juga sudah mengambil langkah awal melalui penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
“Jenayah seperti penipuan siber, eksploitasi dalam talian, penyamaran digital dan manipulasi teknologi deepfake semakin berleluasa serta sukar dikesan dengan kaedah konvensional
“Ini sekali gus menuntut pendekatan perundangan yang lebih progresif dan responsif selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Jenayah dan Pembaharuan Undang-undang: Sistem Keadilan Jenayah dalam Era Baharu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini, hari ini.
Sementara itu, Azalina berkata, perbincangan mengenai perbicaraan yang adil khususnya berkaitan beban pembuktian di akhir kes pendakwaan mungkin bersifat teknikal, namun kesannya memberi implikasi nyata dalam dunia sebenar.
Beliau berkata, piawaian undang-undang yang jelas dan konsisten amat penting bagi melindungi hak tertuduh, memastikan integriti pendakwaan, dan mengekalkan keselarasan kehakiman.
Katanya, begitu juga perbincangan mengenai penahanan praperbicaraan dan pembaharuan jaminan adalah salah satu isu paling mendesak dalam sistem perundangan negara.
“Tahanan reman bukanlah suatu hukuman, penahanan mesti kekal sebagai pengecualian, bukannya peraturan.
“Menilai semula amalan jaminan dan meneroka alternatif seperti mekanisme penyeliaan adalah soal kesepadanan, bukan kelonggaran.
“Keprihatinan ini dizahirkan dalam pembaharuan Fasa 1 Quick Win Kerajaan di bawah Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah, termasuk pindaan terhadap undang-undang pengakuan, peruntukan jaminan dan reman, serta peraturan keterangan bagi mencegah ketidakadilan dan ketidakkonsistenan,” katanya.
Azalina berkata, pembaharuan itu mewujudkan akauntabiliti bersama, bukan sahaja terhadap pesalah tetapi juga penyedia platform yang gagal mengambil tindakan.
Beliau berkata, pendekatan menyelaraskan Malaysia dengan amalan terbaik di peringkat global seperti di United Kingdom, Australia, Singapura dan Kesatuan Eropah, sambil kekal berpaksikan nilai perlembagaan negara sendiri.
“Konvensyen ini dimulakan dengan salah satu cabaran paling serius yang boleh dihadapi oleh mana-mana sistem keadilan, iaitu risiko sabitan salah.
“Sistem yang matang mesti sanggup meneliti bagaimana kesilapan berlaku dan bagaimana ia boleh diperbetulkan.
“Keadilan tidak berakhir dengan sabitan, ia berterusan selagi kebebasan individu dipertaruhkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




