SPRM bongkar rasuah rangkaian pusat urut terkemuka, 121 akaun bank RM11.5 juta dibekukan

SPRM bongkar rasuah rangkaian pusat urut terkemuka, 121 akaun bank RM11.5 juta dibekukan

hafidzul@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 121 akaun bank bernilai kira-kira RM11.5 juta selepas lima individu direman bagi siasatan rasuah penguat kuasa membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka.

SPRM menerusi kenyataan dimuat naik menerusi akaun rasmi TikTok suruhanjaya itu berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat oleh SPRM pagi tadi.

“Mahkamah membenarkan empat suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu ini manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kesemua suspek yang terdiri daripada pengarah syarikat serta pengurusan kanan beberapa entiti perniagaan, berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan semalam di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Semalam, Bahagian Operasi Khas SPRM melaksanakan siasatan menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara, dipercayai beroperasi sejak tahun 2023.

Menurut TikTok SPRM, siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, apabila sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.

“Selain itu, siasatan turut mendapati berlaku pembayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi syarikat serta sebagai wang perlindungan. Beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan susulan sedang diambil.

“Sebagai sebahagian daripada tindakan siasatan, SPRM telah membekukan sebanyak 121 akaun bank, membabitkan akaun persendirian dan akaun syarikat-syarikat berkaitan, dengan jumlah anggaran keseluruhan RM11.5 juta. Setakat ini, 12 rakaman percakapan saksidirakam bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan turut membabitkan pembekuan aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki diperoleh hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram, meliputi lima buah kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta, lima unit premis komersial bernilai kira-kira RM7.3 juta, dua unit hartanah perindustrian bernilai lebih kurang RM2.3 juta, serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran sekitar RM7.7 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan operasi berkenaan sedang dijalankan dan memaklumkan bahawa siasatan memberi fokus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009), selain turut meneliti elemen kesalahan jenayah lain termasuk aktiviti pengubahan wang haram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top