Aktiviti berkhemah secara santai dan moden jadi pilihan

Aktiviti berkhemah secara santai dan moden jadi pilihan

asmaini@mediaprima.com.my

RUTIN harian yang sentiasa sibuk membuatkan ramai merindukan suasana mendamaikan, jauh daripada hiruk pikuk kotaraya.

Jika berpeluang ‘lari’ seketika, ada yang memilih untuk menghirup udara segar sambil ditemani bunyi unggas dalam suasana hening yang penuh kesederhanaan.

Hotel dan ‘staycation’ sudah terlalu biasa, trend ‘glamping’ atau ‘glamour camping’ kini semakin menjadi pilihan ramai.

Apa itu glamping? Ia ialah pengalaman perkhemahan moden yang penuh dengan sentuhan kemewahan.

Khemah yang disediakan bukan sahaja dilengkapi dengan tilam dan kemudahan selesa, malah suasana tapak perkhemahan juga lebih menarik dan mendamaikan.

Bagi warga ibu kota, anda tidak perlu memandu jauh untuk merasai keseronokan glamping kerana banyak pilihan lokasi menarik di sekitar Lembah Klang.

Antaranya Moon Kissed By The River, Hulu Langat; River & Glamp, Batu Caves; Rumah Kebun Camping Ground, Hulu Langat; Dusun Bonda, Batang Kali; Glow Glamping @ Wetland Putrajaya; Hammocks by The River, Hulu Langat; Campsite, Rawang; Gemersik Glamping, Hulu Langat dan banyak lagi.

Di Moon Kissed By The River misalnya, anda boleh alami suasana glamping penuh romantik di tengah rimba.

Lokasinya berhampiran sungai dan khemah yang disediakan lengkap dengan tilam, penyaman udara mudah alih dan tempat barbeku.

Ia antara pilihan ideal bagi pasangan yang mahu menikmati keindahan alam sekitar sambil bersantai.

Selain itu, Glow Glamping pula menyediakan pelbagai aktiviti menarik selain berkhemah.

Antara aktiviti sampingan yang disediakan seperti memanah, ATV, karaoke dan api unggun untuk malam yang lebih meriah.

Lokasi ini sesuai untuk mereka yang mahu mencuba pengalaman baru glamping tanpa keluar jauh dari Lembah Klang.

Manakala, River & Glamp dan The Hid3out pula sesuai untuk penggemar aktiviti air serta aktiviti lasak.

Glamping di Ulu Yam menawarkan suasana sungai dan aktiviti riadah di air seperti ‘river tubing’, kayak, berbasikal dan api unggun.

Ini menjadikan glamping bukan sekadar tidur dalam khemah, tetapi pengembaraan mini ke luar bandar.

Apapun, pastikan anda menempah awal lokasi glamping yang dimahukan kerana kebiasaannya, tempat sebegini sentiasa penuh pada hujung minggu, cuti umum atau musim cuti sekolah.

Pastikan anda membawa jaket kerana walaupun di kawasan rendah, malam boleh terasa lebih sejuk terutama jika lokasinya berhampiran sungai atau hutan.

Juga, jangan lupa melakukan aktiviti tambahan seperti membuat ungun api atau barbeku untuk menambah kenangan manis bersama keluarga atau pasangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top