firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata tiada sebarang petunjuk daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang meletak jawatan untuk bertanding semula dalam kongres pemilihan badan induk itu akan datang.
Pada Rabu lalu, FAM mengumumkan keseluruhan barisan Exconya meletak jawatan serta-merta susulan sekatan dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan kebangsaan itu dan tujuh pemain warisan berhubung pemalsuan dokumen.
Langkah itu membuka ruang kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membantu FAM menjalankan penilaian dalaman secara menyeluruh.
Menurut statut FAM, satu Kongres Luar Biasa baharu perlu diadakan dalam tempoh tiga bulan bagi memilih kepimpinan baharu.
Bagaimanapun, situasi itu menimbulkan persoalan mengenai calon yang bakal bertanding serta kemungkinan bekas ahli Exco yang meletak jawatan untuk kembali bertanding.
Yusoff yang juga mantan Pemangku Presiden FAM berkata masih terlalu awal untuk melihat sebarang petunjuk mengenai kembalinya barisan Exco terdahulu.
“Buat masa ini, mereka tidak memberi sebarang bayangan untuk bertanding semula, mungkin kerana situasi ini masih baharu bagi mereka.
“Bagi saya, saya mahu lihat dahulu perubahan dalam FAM dan apakah cadangan daripada AFC untuk menambah baik FAM.
“Kita mahu lihat penambahbaikan jika ada kelemahan. Mungkin selepas itu mereka (ahli Exco) ada niat untuk bertanding semula.
“Tetapi setakat ini, tiada sebarang petunjuk daripada Exco yang meletak jawatan. Kita semua hanya mahu lihat penambahbaikan dalam FAM,” katanya.
Kesemua ahli Exco FAM bagi penggal 2025–2029 mengemukakan peletakan jawatan serta-merta secara kolektif dan sukarela, hanya 11 bulan selepas memegang jawatan.
FAM kini akan ditadbir oleh pasukan pengurusan interim bagi mengendalikan operasi harian.
Pasukan itu terdiri daripada Setiausaha Agung Datuk Noor Azman Rahman, Bendahari Datuk Ismail Karim serta dua lagi ketua jabatan yang akan berhubung dengan AFC dan FIFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




