Harimau Malaya dihukum kesilapan sendiri

Harimau Malaya dihukum kesilapan sendiri

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan menerima satu lagi tamparan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan selepas tewas 2-0 pada aksi persahabatan berdepan Bahrain di Stadium Nasional Bahrain, sebentar tadi.

Pintu gol Harimau Malaya bocor pada minit ke-41 hasil sepakan penalti Mahdi Abduljabbar selepas kesilapan Irfan Zakaria yang memegang pemain tengah berusia 29 tahun itu.

Kesilapan individu sekali lagi mengundang padah buat Harimau Malaya apabila tampanan kurang kemas yang dilakukan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-61 membolehkan Mohd Jassim Marhoon menambah gol kedua Bahrain.

Ia adalah kekalahan kedua dialami Harimau Malaya selepas kecundang 1-4 ketika aksi pemanas badan menentang Kuwait, Selasa lalu.

Secara keseluruhannya, anak buah Tan Cheng Hoe mempamerkan aksi yang baik dengan corak permainan secara hantaran pendek dan mengatur gerakan dari bawah.

Penampilan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi juga dilihat memberi impak yang positif di bahagian tengah.

Gandingannya bersama Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba khususnya pada babak pertama berjaya menggerakkan ‘enjin’ Harimau Malaya.

Namun, kesilapan tidak sepatutnya seperti yang dilakukan Irfan dan Farizal wajib dielakkan apabila mengharungi aksi getir berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan, awal pagi Jumaat ini.

Ia kerana kesilapan seperti itu boleh merugikan pasukan, apatah lagi Harimau Malaya memerlukan keputusan positif dalam tiga aksi terakhir kelayakan Kumpulan G berdepan UAE, Vietnam dan Thailand bagi melangkah ke peringkat seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top