am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Sebuah restoran di sini didapati menggantung ayat al-Quran dan kalimah Allah pada dinding untuk melambangkan premis halal, namun menggunakan khidmat pekerja bukan beragama Islam termasuk tukang masak.
Perkara itu terbongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Teluk Intan, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan dokumen perakuan halal atau pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurutnya, selain menggunakan representasi takrif halal melalui penggunaan kalimah Allah dan ayat suci al-Quran, pemilik juga menggunakan logo halal tidak sah dalam iklan perniagaan.
“Premis itu menggunakan sepenuhnya dua pekerja bukan beragama Islam dalam penyediaan makanan dan minuman mereka termasuk sebagai tukang masak.
“Sehubungan itu, dia ditahan untuk diambil keterangan dan dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata, pihaknya menyita beberapa barangan bernilai RM500, termasuk dua set hiasan kalimah Allah dan Muhammad, hiasan dinding ayat al-Quran, salinan lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan salinan daftar perniagaan syarikat.
Katanya, kes disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan takrif halal atau penggunaan logo halal yang tidak sah kerana tindakan ini boleh memperdaya atau mengelirukan orang bahawa makanan, barangan serta perkhidmatan keluaran mereka adalah halal, terutamanya kepada orang Islam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




