Perebutan kejuaraan EPL semakin sengit

Perebutan kejuaraan EPL semakin sengit

Manchester, England: Arsenal memasuki aksi hujung minggu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan empat mata di puncak liga, namun jurang itu semakin mengecil selepas kekalahan mengejut 2–3 di laman sendiri kepada Manchester United, Ahad lalu.

Keputusan tersebut, ditambah dengan dua seri menentang Nottingham Forest dan Liverpool baru-baru ini, membolehkan Manchester City dan Aston Villa semakin menghampiri dalam fasa kritikal musim ini.

Ia sekali lagi menimbulkan persoalan sama ada pasukan Mikel Arteta akan merudum seperti musim-musim sebelum ini.

The Gunners akan bertandang ke Elland Road pada Sabtu untuk menentang Leeds United yang semakin kukuh dalam usaha mereka untuk kekal dalam liga.

Leeds kini di tangga ke-16 tetapi hanya tewas dua kali di laman sendiri sepanjang musim dan tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir di Elland Road, selain berjaya menjaringkan gol dalam 10 daripada 11 aksi home mereka.

Arsenal pula hadir dengan rekod tiga perlawanan liga tanpa kemenangan. Walaupun prestasi di tempat lawan mereka secara keseluruhan agak baik musim ini, hanya dua daripada enam perlawanan liga terakhir di kubu lawan berakhir dengan kemenangan. Dengan jurang semakin rapat, skuad Arteta tidak mampu lagi tercicir mata.

Bekas pemain tengah City, Ilkay Gundogan, yang menyaksikan pasukannya Galatasaray tewas 0-2 kepada bekas kelabnya dalam Liga Juara-Juara berkata, beliau mengikuti perebutan kejuaraan England sebagai peminat dan pertaruhannya adalah kepada City.

“Saya rasa ya,” kata Gundogan apabila ditanya sama ada City mampu memintas Arsenal.

“Saya fikir mereka mempunyai momentum sekarang dan sejarah menunjukkan apabila mereka dapat momentum itu, sangat sukar untuk menghalang mereka.

“Mereka boleh mencatat rentetan kemenangan panjang. Nampaknya mereka perlu melakukannya kerana kedua-dua pasukan bermain pada tahap tinggi, sebab itulah Liga Perdana sangat menarik.

“Semua pasukan boleh ambil mata daripada sesiapa sahaja. Liga ini istimewa, hebat untuk ditonton. Saya mengikutinya, ia mendebarkan, tapi saya harap City mampu melakukannya.”

City kendalian Pep Guardiola pula akan menentang Spurs pada Ahad dalam keadaan mereka tahu keputusan Arsenal di Elland Road boleh membuka ruang besar dalam perebutan takhta liga.

City di tempat kedua berkongsi mata dengan Aston Villa di tempat ketiga, dan semakin yakin selepas tambahan Januari iaitu Antoine Semenyo dan Marc Guehi.

Penyerang utama Erling Haaland juga akhirnya menamatkan kemarau golnya awal pagi hari ini dengan jaringan pertama daripada permainan terbuka dalam 10 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top