Lelaki Palestin ditembak mati di Tebing Barat

Lelaki Palestin ditembak mati di Tebing Barat

NABLUS, WILAYAH PALESTIN: Anggota tentera Israel menembak mati seorang lelaki warga Palestin ketika pertempuran di Tebing Barat, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Zakaria Hamayel, 28, ditembak di dada ketika menyertai tunjuk perasaan menentang perluasan penempatan Israel di kawasan Palestin di perkampungan Beita, selatan Nablus.

Bagaimanapun tentera Israel tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas oleh wakil AFP.

Menurut wartawan AFP, ketika protes antipendudukan, beberapa penunjuk perasaan Palestin membaling batu ke arah tentera Israel.

Selasa lalu, tentera Israel membunuh seorang lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari berdekatan Ramallah.

Tentera Israel melakukan siri penahanan di Tebing Barat susulan keganasan yang tercetus dalam konflik 11 hari antara Israel dan pejuang Hamas sebelum gencatan senjata diumumkan pada 10 Mei lalu menerusi inisiatif Mesir.

Lebih 25 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran di Tebing Barat, lokasi yang menyaksikan lebih 400,000 warga Israel tinggal bersama 2.8 juta rakyat Palestin.

Israel menjajah Tebing Barat sejak 1967 bersama Semenanjung Gaza menerusi Perang Enam Hari. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top