MB Perlis tolak elaun perjalanan dan perkhidmatan Pengerusi MBI

MB Perlis tolak elaun perjalanan dan perkhidmatan Pengerusi MBI

am@hmetro.com.my

Kangar: Selepas memotong gajinya pada awal bulan ini, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah sekali lagi mengambil inisiatif dalam mendepani keadaan ekonomi negeri yang mencabar apabila menolak elaun perjalanan dan perkhidmatan sebanyak RM10,000 yang diperuntukkan kepadanya selaku Pengerusi Menteri Besar Incorparated (MBI).

Abu Bakar berkata, pertimbangan itu dilakukan apabila meneliti dan memahami keperluan ekonomi kerajaan negeri ketika ini yang tidak berada dalam keadaan begitu selesa.

“Saya nampak keperluan kerajaan negeri hari ini, ekonomi sedang berada dalam keadaan tidak selesa dan cukup makan sahaja.

“Maka saya buat penetapan itu selepas menimbang dan mempersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, di Kompleks Seri Putra di sini malam tadi.

Pada hari pertama memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar, Abu Bakar mengumumkan pemotongan gaji beliau sebanyak RM3,000 pada setiap bulan.

Selain beliau, gaji EXCO negeri turut dipotong sebanyak RM1,500 sebulan sebagai langkah usaha menstabilkan ekonomi rakyat termasuk membantu mengurangkan bebanan kewangan negeri.

Abu Bakar berkata, beliau juga akan terus fokus bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat dan memastikan ekonomi negeri dapat ditingkatkan selepas ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top