am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadi sasaran tuduhan rakan sekelasnya selepas seorang pelajar melaporkan kehilangan wang, biarpun tiada bukti ditemui ketika pemeriksaan mengejut yang dilakukan.
Guru, Mohd Sham M Nasir, 27, yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, dia menasihati pelajar supaya tidak menuduh sesiapa tanpa bukti.
Saksi ke-61 itu mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 14 Julai tahun lalu ketika dia mengajar di kelas Zara.
Menurutnya, dia menyedari seorang pelajar kelihatan sedih dan seperti ingin menangis ketika sesi pengajaran di kelasnya.
Katanya, apabila ditanya punca, pelajar berkenaan memaklumkan bahawa dia kehilangan RM20 ketika dalam perjalanan ke makmal sains.
Mohd Sham berkata, dia bertanya kepada kelas sama ada sesiapa mengetahui siapa yang terakhir keluar dari bilik darjah, namun tiada pelajar memberikan jawapan.
Susulan itu, dia menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap semua pelajar yang hadir pada hari berkenaan termasuk Zara.
Pemeriksaan dilakukan membabitkan beg sekolah, dompet dan poket pelajar, manakala pelajar perempuan diperiksa oleh penolong ketua kelas.
Pemeriksaan itu mengambil masa antara 10 hingga 15 minit dan tiada wang yang hilang ditemui.
Dia kemudiannya meneruskan pengajaran seperti biasa.
Namun, ketika sedang mengemas untuk keluar kelas, pelajar yang kehilangan wang menyerahkan sekeping kertas kecil kepadanya.
“Apabila saya membukanya, nama ‘Zara’ tertulis di atas kertas itu. Saya segera menasihati pelajar berkenaan supaya tidak membuat tuduhan tanpa bukti, namun dua pelajar lain menyokong dakwaan itu,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya hari ini.
Menurutnya, seorang pelajar mendakwa Zara pernah terbabit dalam kejadian sama sebelum ini, manakala seorang lagi pelajar, dikenali sebagai ‘Pelajar A’ berkata dia juga pernah kehilangan wang sebelum ini dan mengesyaki Zara.
Mohd Sham berkata, sebahagian pelajar kekal berdiam diri manakala yang lain secara terbuka membincangkan tuduhan berkenaan.
Katanya, dia yakin dua pelajar itu menyedari perkara terbabit, walaupun pelajar yang kehilangan wang tidak menyebut nama Zara secara lisan, sebaliknya hanya menyerahkan kertas kecil yang tertera namanya.
Mohd Sham percaya Zara dapat mendengar perbualan itu kerana tempat duduknya berdekatan, namun dia mengelak memandang ke arahnya bagi mengelakkan Allahyarham berasa tidak selesa.
Selepas membaca doa penutup bagi menamatkan kelas, Mohd Sham berkata, Zara kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi yang ketara.
Menurutnya, ketika meninggalkan kelas, beberapa pelajar berkumpul dan sekali lagi menuduh Zara mencuri, sambil mengulangi dakwaan bahawa Zara pernah melakukannya sebelum ini.
“Saya sekali lagi menasihati mereka supaya tidak menuduh sesiapa tanpa bukti,” katanya.
Mohd Sham menambah, dia kembali bertugas seperti biasa keesokan harinya, iaitu pada 15 Julai 2025 dan meninggalkan sekolah pada 1.30 tengah hari selepas menamatkan tugasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




