Yueyang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di wilayah Hunan kembali sedar selepas koma selama 55 hari apabila mendengar rakaman video daripada rakan sekelasnya, lapor South China Morning Post.
Kanak-kanak itu, Liu Chuxi, seorang murid di sekolah tempatan dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada November tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan, The Paper, mangsa mengalami kerosakan otak dan kecederaan paru-paru yang teruk akibat nahas berkenaan.
Doktor sebelum ini memaklumkan kepada keluarganya bahawa peluang Chuxi untuk pulih sangat tipis berdasarkan kecederaan dialaminya.
Bagaimanapun, ibunya enggan berputus asa dan membawa mangsa ke beberapa hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Seorang doktor kemudian mencadangkan supaya bunyi yang biasa didengari atau muzik kegemaran dimainkan bagi merangsang kawasan tertentu pada otak mangsa.
Bertindak atas saranan itu, ibunya mula mengumpulkan rakaman muzik loceng sekolah serta nada senaman pagi untuk dimainkan kepada Chuxi setiap hari.
Pada masa sama, guru mangsa mengambil inisiatif mengatur rakan sekelas untuk merakam video bagi memberikan kata-kata semangat buat Chuxi.
Antara rakaman yang menyentuh hati termasuk panggilan daripada rakan lelaki yang mengajaknya kembali bermain bola sepak sebaik dia sedar nanti.
Rakan-rakan lain turut merakamkan pesanan supaya Chuxi segera membuka mata kerana peperiksaan sekolah sudah hampir dan mereka mahu belajar bersama-sama.
Selepas 45 hari rutin memainkan rakaman itu dilakukan, Chuxi mula menunjukkan tindak balas positif termasuk menggerakkan kelopak matanya secara perlahan.
Kanak-kanak itu akhirnya sedar sepenuhnya pada hari ke-55 dan mampu menggerakkan tangan kirinya selain tersenyum apabila mendengar suara gurunya.
Ibu mangsa menyifatkan kejadian itu sebagai satu keajaiban dan berharap kes anaknya dapat memberi inspirasi kepada keluarga lain yang menghadapi situasi serupa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




