UMNO, PH gesa kerajaan salur bantuan

UMNO, PH gesa kerajaan salur bantuan

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti menyediakan bantuan khas bagi rakyat terjejas susulan pelaksanaan Fasa penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi, mulai Selasa ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi entri di Facebook malam tadi, berkata banyak sektor ekonomi terjejas sepanjang perintah berkurung penuh selama enam minggu itu.

“Harap Kementerian Kewangan segera umumkan pakej bantuan khas untuk rakyat yang terjejas sepanjang penutupan ini.

“Juga untuk laksanakan i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan arahan khas menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi bank dan kewangan memberikan Moratorium 2.0 antara tiga hingga enam bulan tanpa caj tambahan,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau sekatan penuh selama 14 hari, bagi Fasa Pertama, mulai Selasa hingga 14 Jun depan.

Pelaksanaan Fasa Kedua bagi tempoh empat minggu pula selepas Fasa Pertama berakhir dengan pembukaan beberapa sektor ekonomi tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal akan dibenarkan, jika kes harian COVID-19 berjaya diturunkan pada Fasa Pertama.

Sementara itu, Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian konstruktif dengan menyokong keputusan kerajaan melaksanakan perintah berkurung penuh itu dengan tujuh syarat perlu dipenuhi.

“Persetujuan ini dicapai dengan syarat yang perlu dipenuhi kerajaan, iaitu memberi bantuan ‘one off’ kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

“Melaksanakan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan dan rebat bil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kerajaan perlu memastikan bekalan barang keperluan harian mencukupi dan tiada kenaikan harga; penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang serta bantuan bakul makanan mesti sampai kepada rakyat memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top