firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tanggal 26 Februari ini adalah tarikh keramat buat tujuh pemain Harimau Malaya apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menetapkan hari berkenaan untuk pendengaran penuh kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain berkenaan.
CAS mengesahkan tarikh pendengaran secara fizikal itu akan berlangsung di ibu pejabatnya di Lausanne, Switzerland di laman sosialnya, sekali gus menjadi tarikh penting yang bakal menentukan hala tuju kerjaya antarabangsa tujuh pemain terbabit.
Lebih menarik, lapan kes akan didengar serentak dalam satu prosiding membabitkan FAM bersama tujuh pemain naturalisasi negara iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Perkembangan itu menyaksikan semua pihak kini menanti penuh debaran keputusan muktamad yang bukan saja memberi kesan kepada pemain terlibat, malah imej serta perancangan skuad kebangsaan.
Isu berkenaan tercetus selepas FIFA sebelum ini menggantung tujuh pemain berkenaan susulan dakwaan berkaitan pemalsuan dokumen dan status kelayakan pemain warisan.
Bagaimanapun, CAS kemudian membenarkan permohonan penangguhan sementara (stay of execution) terhadap hukuman itu, sekali gus membolehkan penguatkuasaan penggantungan ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan penuh.
Keputusan sementara itu memberi sedikit kelegaan kepada FAM dan pemain berkenaan, namun pendengaran pada 26 Februari bakal menjadi penentu sama ada hukuman berkenaan dikekalkan, dipinda atau dibatalkan.
Dengan masa depan tujuh pemain kini berada di hujung pertimbangan CAS, seluruh pemerhati bola sepak tempatan dan serantau pasti memerhati rapat perkembangan kes berprofil tinggi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




