Sinner akur tersingkir di Melbourne, akui Djokovic masih luar biasa

Sinner akur tersingkir di Melbourne, akui Djokovic masih luar biasa

Melbourne: Bintang tenis Itali, Jannik Sinner mengakui kekecewaan dirasai selepas tersingkir di separuh akhir Terbuka Australia, namun tidak terkejut dengan tahap permainan dipamerkan Novak Djokovic yang menamatkan penguasaannya di Melbourne Park.

Juara bertahan dua kali itu mengharungi pertarungan sengit lima set menentang Djokovic sebelum tewas buat kali pertama di kejohanan berkenaan sejak kekalahan kepada Stefanos Tsitsipas pada pusingan keempat edisi 2023.

“Ia kejohanan Grand Slam yang sangat penting buat saya, tetapi perkara seperti ini boleh berlaku.

“Perlawanan berlangsung dengan baik untuk kedua-dua pemain. Saya mempunyai banyak peluang, tetapi gagal memanfaatkannya dan itulah keputusannya. Ya, ia memang menyakitkan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Sinner sebelum itu memenangi lima pertemuan terakhir menentang Djokovic, namun mengakui tidak terkejut dengan kualiti permainan yang dipamerkan pemain Serbia berusia 38 tahun di Arena Rod Laver.

“Dia sudah memenangi 24 gelaran Grand Slam. Kami saling mengenali cara permainan masing-masing dan saya tidak pernah terkejut dengan tahapnya kerana dia adalah pemain terbaik selama bertahun-tahun,” katanya.

Menurut Sinner, walaupun Djokovic kini beraksi dalam lebih sedikit kejohanan susulan faktor usia, Grand Slam tetap menjadi keutamaan buat kedua-dua mereka.

“Dia adalah pemain tenis yang hebat. Saya harap dapat mengambil pengajaran daripada perlawanan ini dan melihat apa yang boleh saya perbaiki,” katanya.

Dalam set penentuan, Sinner memiliki lapan mata pemecah servis namun semuanya berjaya diselamatkan Djokovic.

“Dia menghasilkan beberapa pukulan hebat. Servisnya juga sangat baik. Saya ada peluang, tetapi terlepas pukulan penting. Itulah tenis,” katanya.

Sinner turut memberi kredit penuh kepada Djokovic atas prestasi cemerlang yang dipamerkan dalam perlawanan berkenaan.

Djokovic dijadual bertemu Carlos Alcaraz pada perlawanan akhir Ahad ini ketika memburu gelaran Grand Slam ke-25 sekali gus berpeluang muncul pemain paling berjaya dalam sejarah tenis, lelaki atau wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top