Yayasan Al-Sultan Abdullah, Citaglobal sumbang bantuan kemanusiaan kepada Aceh

Yayasan Al-Sultan Abdullah, Citaglobal sumbang bantuan kemanusiaan kepada Aceh

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keprihatinan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap penderitaan mangsa bencana banjir di Aceh, Indonesia dizahirkan menerusi pelaksanaan inisiatif kemanusiaan berskala serantau oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama strategik Citaglobal Berhad.

Dalam kenyataan bersama YASA dan Citaglobal Berhad, sejumlah RM400,000 diperuntukkan bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Aceh sebagai manifestasi solidariti, kasih sayang dan semangat persaudaraan nusantara.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM340,000 telah disalurkan oleh YASA dan Citaglobal kepada pemerintah Aceh, manakala baki RM60,000 diperuntukkan khusus bagi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan secara langsung kepada komuniti terjejas di lapangan.

“Fokus utama misi ini adalah pengagihan bantuan asas meliputi bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan, set pembersihan, keperluan harian serta kit sokongan kanak-kanak kepada komuniti terjejas di Aceh Utara, di samping penyelarasan logistik dan kerjasama rapat bersama pihak berkuasa tempatan.

“Inisiatif ini mencerminkan iltizam berterusan serta keprihatinan mendalam baginda Sultan Pahang terhadap kesejahteraan rakyat di negara serantau yang ditimpa musibah, di samping menzahirkan nilai kemanusiaan, empati dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi krisis bencana di rantau ASEAN,” katanya.

Sumbangan serta titah peribadi Sultan Pahang kepada rakyat Aceh itu disampaikan melalui pertemuan rasmi delegasi YASA dan Citaglobal Berhad bersama Gabenor Aceh, Muzakir Manaf hari ini.

Delegasi YASA dan Citaglobal diketuai Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Pengurus Besar YASA, Mohd Fakhrul Islam Juhali, selain ia turut dihadiri Penasihat YASA, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Misi bantuan kemanusiaan ini telah dilaksanakan 9 hingga 14 Januari lalu dengan kerjasama rakan pelaksana, Pertubuhan Kebajikan FL (Childrity) dari Malaysia dan Global Humanity Network (GHN) dari Indonesia.

YASA dan Citaglobal berkata, komitmen ini bukan sekadar tertumpu kepada bantuan kecemasan, malah merangkumi sokongan jangka panjang ke arah pemulihan komuniti, pembangunan sosial serta pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dalam aspek kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat.

“Inisiatif ini melambangkan keprihatinan dan titah baginda Sultan Pahang terhadap penderitaan rakyat Aceh serta semangat persaudaraan serantau yang wajar terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top