am@hmetro.com.my
Dungun: Aksi berbahaya sekumpulan samseng jalanan berakhir dengan 157 motosikal dan 147 penunggang ditahan selepas dikepung polis dalam Ops Samseng Jalanan di sini, petang semalam.
Operasi bermula jam 6 petang itu yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun itu tertumpu di Batu 49 hingga lampu isyarat Alur Tempoyak dan Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, operasi selama dua jam itu disertai dua pegawai dan 34 anggota trafik serta dibantu anggota dari pelbagai jabatan.
“Sebaik dikepung, 10 motosikal ditinggalkan di tempat operasi kerana pemiliknya melarikan diri.
“Semua motosikal yang ditahan dibawa ke IPD Dungun untuk tindakan lanjut dan sebanyak 259 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Maizura berkata, proses mengeluarkan saman kepada semua penunggang motosikal terbabit berakhir kira-kira jam 2 pagi tadi.
“Antara saman yang dikeluarkan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai struktur kenderaan dan ekzos bising.
“Bagi motosikal yang ditahan atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan, kita akan sita sehingga mereka melengkapkan semula komponen yang diubah suai itu, ” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus menjalankan operasi ini dari masa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini.
“Langkah ini adalah usaha polis dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya, disamping membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan dari terus berleluasa dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



