Masih terkesan kehilangan 2 anak lelaki, pasangan guru hargai keprihatinan YGMB

Masih terkesan kehilangan 2 anak lelaki, pasangan guru hargai keprihatinan YGMB

am@hmetro.com.my

Kajang: Pasangan guru yang kehilangan dua anak lelaki akibat lemas ketika cuba mengambil bola di dalam longkang, Disember lalu, menerima sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), hari ini.

Bapa mangsa, Khairul Ikram Baharin, 47, berkata beliau menzahirkan penghargaan atas keprihatinan YGMB dan memaklumkan wang sumbangan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan keluarga.

Menurutnya, keputusan menyertai skim YGMB dibuat pada 2023 selepas beliau menguruskan tuntutan kematian arwah ibunya yang juga ahli yayasan berkenaan.

Katanya, pendedahan terhadap skim itu berlaku secara tidak langsung apabila beliau terbabit menguruskan segala urusan tuntutan selepas pemergian ibunya.

“Dorongan untuk menyertai skim YGMB ini dipengaruhi pengalaman peribadi serta kesedaran mengenai kepentingan perlindungan kewangan, terutama selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena Program Ziarah Kasih YGMB di Taman Prima Saujana, di sini, hari ini.

Pada program itu, YGMB menyampaikan sumbangan Khairat Kematian Anak berjumlah RM2,000 yang disampaikan Ketua Bahagian Perkhidmatan Ahli YGMB, Rafizah Rahman.

Turut hadir, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat YGMB, Rohaya Haron.

Media sebelum ini melaporkan pasangan guru, Khairul Ikram dan isterinya, Noor Suzieana Ibrahim, 47, kehilangan dua anak lelaki, Allahyarham Khalish Shahdan, 14, dan Allahyarham Qayyum Shaqeel, 12, selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.

Kedua-dua arwah disifatkan sangat rapat dan sering melakukan aktiviti bersama sejak kecil.

Noor Suzieana berkata, keluarga masih terkesan dengan tragedi itu.

“Kesedihan masih terasa terutama apabila melihat aktiviti sekolah, sukan atau program luar kerana arwah sebelum ini sangat aktif,” katanya.

Sementara itu, Rafizah berkata, YGMB turut bersimpati atas tragedi yang menimpa keluarga berkenaan dan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka.

Beliau berkata, skim seumpama itu penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pendidik mengenai keperluan perancangan awal dan perlindungan kewangan untuk menghadapi perkara tidak dijangka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top