am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang penunggang wanita merayu Yamaha RXZ ditungganginya tidak disita dalam Operasi Khas Motosikal dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Pantai Seberang Takir, di sini, petang semalam.
Motosikal berkenaan yang didakwa dibeli wanita berusia 39 tahun itu dengan harga RM27,000 ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) selepas mendapati nombor casis dan enjin kenderaan terbabit mencurigakan selain terdapat kesan usikan.
Ketika ditanya, wanita terbabit memberi alasan tidak tahu mengenai perkara itu dan mendakwa ia memang begitu ketika dibeli.
Pengarah JPJ Negeri, Zamri Samion, berkata pihaknya menyita motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk melakukan pemeriksaan di Jabatan Kimia.
Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan bertujuan untuk mencegah risiko sebelum tragedi berlaku serta meningkatkan tahap kesedaran di kalangan penunggang motosikal.
Dalam operasi bermula 5 petang hingga 7 malam itu, sebanyak 25 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.
Sebanyak 156 kenderaan diperiksa dengan 13 buah membabitkan 11 motosikal dan dua kereta disita kerana tidak memiliki insuran dan cukai jalan serta kesalahan teknikal lain.
Mengenai aktiviti lumba haram, Zamri berkata pihaknya akan mempergiatkan operasi di beberapa lokasi yang sudah dikenalpasti bagi membendung aktiviti itu.
“Hasil risikan dan penyamaran anggota, aktiviti berkenaan diadakan pada awal pagi antara jam 2 hingga 5 pagi di beberapa lokasi yang kita sudah kenalpasti.
“Lokasi yang kita sudah kenalpasti adalah Bandar Baru Kuala Nerus, Jalan Mengabang Telipot, Jalan Padang Nenas, Jalan Durian Burung–Manir, Jalan Wakaf Beruas–Bukit Payong, Jalan Chendering, Kampung Teluk Ketapang, Kampung Losong dan Jalan Taman Tamadun Islam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



