Jakarta: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di pulau utama Indonesia, Jawa, yang berlaku seminggu lalu meningkat kepada 53 orang pada Sabtu, kata seorang pegawai penyelamat, dengan 10 individu masih dilaporkan hilang.
Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh yang melanda Kampung Pasirlangu, di kawasan tenggara ibu negara Jakarta, mengakibatkan lebih 50 buah rumah rosak dan kira-kira 650 penduduk terpaksa dipindahkan.
Ribuan anggota penyelamat, dibantu tentera, polis dan sukarelawan, terus menggali lumpur untuk mencari mangsa.
Sebanyak 53 mayat telah ditemui dan dikenal pasti setakat Sabtu, kata Ketua Agensi Carilamat dan Penyelamat tempatan, Ade Dian Permana, meningkat daripada angka sebelum ini iaitu 44 orang.
Sekurang-kurangnya 10 orang masih hilang, katanya, namun cuaca yang semakin baik membantu usaha pencarian.
Tentera Laut Indonesia memaklumkan bahawa 23 anggota, yang sedang menjalani latihan di kawasan itu, adalah antara mereka yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat di wilayah Bandung Barat telah dilanjutkan sehingga Jumaat.
Kerajaan sebelum ini menegaskan peranan kehilangan hutan dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Pulau Sumatera pada akhir tahun lalu, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan lebih 240,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Hutan berfungsi menyerap air hujan dan menstabilkan tanah melalui akar pokok, dan ketiadaannya menjadikan kawasan lebih terdedah kepada kejadian tanah runtuh.
Bencana seperti ini adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Indonesia yang luas ketika musim hujan, yang lazimnya berlangsung dari Oktober hingga Mac.
Hujan lebat juga melanda Pulau Siau di Indonesia bulan ini, menyebabkan banjir kilat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




