Ayuh Spurs tamatkan kemarau kemenangan

Ayuh Spurs tamatkan kemarau kemenangan

Tottenham kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam esok apabila menentang Manchester City di laman sendiri.

Thomas Frank menghadapi tekanan selepas permulaan 2026 yang goyah, tetapi sedikit lega selepas membawa Spurs menang 2-0 ke atas Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu.

Tottenham belum menang dalam lima perlawanan liga, tetapi berpeluang kembali ke landasan apabila melayan kunjungan City.

Frank kini menghadapi masalah kecederaan yang serius sebelum menentang City, dengan Micky van de Ven tidak pasti dapat beraksi selepas terlepas kemenangan ke atas Frankfurt akibat kecederaan ringan.

Lucas Bergvall masih cedera pergelangan kaki, manakala Ben Davies dan Rodrigo Bentancur turut tidak dapat diturunkan kerana kecederaan jangka panjang. Pedro Porro diketepikan selama sebulan akibat kecederaan hamstring.

Pilihan di bahagian serangan juga terhad dengan Richarlison dan Mohammed Kudus tidak dapat bermain sehingga Mac dan April akibat kecederaan peha.

Dejan Kulusevski dan James Maddison pula masih alami kecederaan jangka panjang.

Walaupun Frank mungkin menemui rentak di pentas Eropah, prestasi Spurs yang bergelut dalam liga mencetuskan rasa bimbang pasukan itu boleh tergelincir sekali lagi.

Namun, sejarah menunjukkan Frank mempunyai kelebihan menentang Pep Guardiola.

Beliau pernah menewaskan Guardiola awal musim ini dalam perlawanan domestik kedua bersama Spurs, dan dua kali ketika bersama Brentford.

Guardiola perlu berhati-hati, terutamanya dengan banyak pemain utama City terpaksa diketepikan menghadapi Spurs yang kini semakin yakin dengan prestasi mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top