Liverpool: Ibrahima Konate berkata dia kembali ke Liverpool lebih awal selepas kematian bapanya bagi membantu juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengharungi krisis kecederaan pertahanan.
Pemain antarabangsa Perancis itu menitiskan air mata selepas menjaringkan gol lewat permainan dalam kemenangan 4-1 ke atas Newcastle, awal pagi tadi.
Konate terlepas tiga perlawanan Liverpool sebelum ini selepas dibenarkan cuti kecemasan.
Namun, dia berasa terpanggil untuk membantu rakan sepasukan selepas kecederaan menimpa Joe Gomez, Jeremie Frimpong dan Conor Bradley, yang meninggalkan Arne Slot dengan kekurangan pilihan di bahagian pertahanan.
“Saya tidak tahu nak gambarkan perasaan saya sekarang kerana ini tempoh yang sangat sukar bagi saya dan keluarga selama dua minggu lalu, tapi ini sebahagian daripada kehidupan. Sukar untuk menerimanya dan kami tiada pilihan,” kata Konate kepada TNT Sports.
“Saya tahu pasukan ada beberapa pemain cedera, dan pengurus kata ambil masa, tak perlu tergesa-gesa kembali.
“Dalam situasi ini, penting untuk saya kembali dan bantu pasukan. Hari ini saya lakukan bersama pasukan di Anfield, suasananya luar biasa, dan ini yang kami perlukan sehingga akhir musim,” tambah pemain berusia 26 tahun itu.
Slot memuji komitmen dan persembahan Konate yang membantu menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan dalam liga pada 2026.
“Ibou kata awal minggu ini pada saya, ‘Saya akan kembali lebih awal daripada yang dirancang kerana saya mahu bantu pasukan’.
“Itulah yang dia lakukan hari ini, bukan saja dengan golnya tetapi juga persembahan hebatnya,” kata Slot.
Hugo Ekitike menjaringkan dua gol dan Florian Wirtz turut meledak gol, membantu Liverpool bangkit selepas Anthony Gordon membuka jaringan untuk Newcastle.
Kemenangan itu melonjakkan pasukan Slot ke tangga kelima EPL.
© New Straits Times Press (M) Bhd




