am@hmetro.com.my
Bangi: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan bahawa terdapat usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin daripada Perikatan Nasional (PN).
Beliau menegaskan, perbincangan dalam Pemukiman PAS secara tertutup sejak kelmarin adalah bagi meneruskan gabungan PN demi perpaduan.
“Tak betul, tak betul. Nak meneruskan Perikatan Nasional, perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas program pemukiman di sini, hari ini.
Abdul Hadi turut menegaskan, tiada isu-isu lain yang dibincangkan dalam pemukiman secara tertutup itu.
Semalam, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan kemelut dalaman PN, peranan PAS dan potensi Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih kepimpinan BERSATU.
Marzuki mendakwa, bagi parti diterajui Abdul Hadi, masalah dihadapi PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur sebagai pengerusi gabungan terbabit.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika diminta mengulas mengenai perkara sama menegaskan, perkara berkenaan tidak timbul memandangkan PN adalah gabungan empat parti yang kekal bersatu.
“Kita sudah berkoalisi, mana mungkin kita ketepikan sesiapa. Keempat-empat parti dalam PN masih utuh.
“PN kekal memerintah di empat negeri termasuk Perlis dan tidak berdepan sebarang masalah dalaman setakat ini. Di peringkat negeri pun kita masih PN. Tak ada masalah,” katanya.
Jelasnya, PAS melalui Biro Pemerkasaan Parti merangka pelbagai program tahunan bermula awal tahun ini sebagai persiapan berterusan menghadapi landskap politik semasa termasuk jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Tiada sebarang keputusan muktamad atau perbincangan kritikal dibuat setakat ini.
“Permukiman berkenaan merupakan acara tahunan biasa yang dilaksanakan setiap awal tahun yang diterajui Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan merangkumi perancangan dari peringkat awal sehingga hujung tahun hadapan.
“Program ini bersifat umum dan tahunan, membabitkan peringkat negeri dan persediaan parti menghadapi pilihan raya,” katanya.
Katanya, sebarang perbincangan berkaitan strategi pilihan raya yang lebih terperinci lazimnya dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti melalui PAS Pusat membabitkan Presiden, Timbalan Presiden serta barisan Naib Presiden.
“Yang ini bukan perbincangan sulit atau kritikal (pemukiman tertutup). Perkara-perkara strategik dibincangkan di peringkat lain,” katanya.
Mengulas mengenai bentuk pertandingan pilihan raya, beliau berkata, parti hanya membincangkan beberapa pilihan termasuk pertandingan secara gabungan atau solo, namun tiada sebarang ketetapan muktamad dibuat setakat ini.
“Itu biasa dalam parti, ada pilihan A, B dan C. Tetapi belum ada keputusan akhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



