KKR beri amaran kontraktor sub projek kerajaan

KKR beri amaran kontraktor sub projek kerajaan

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi amaran terhadap amalan ‘sub’ projek kerajaan iaitu menyerahkan kerja yang diterima kepada kontraktor lain atau subkontraktor.

Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, amalan ‘sub’ bagi kontraktor yang menerima projek kerajaan terutama dalam kalangan kontraktor kecil G1 hingga G4 bukan hanya mengurangkan kualiti hasil kerja yang diharapkan apabila kerja itu bukan dilakukan sendiri oleh kontraktor yang dilantik, malah turut menjejaskan usaha kerajaan meningkatkan kemahiran dan keupayaan kontraktor kelas itu.

“Kita bagi kontrak kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ini dengan harapan kontraktor ini melaksanakan sendiri dan belajar.

“Bila belajar dan lebih mahir sedikit mereka boleh naik ke peringkat yang lebih tinggi namun bila mereka ‘sub’, timbul masalah.

“Saya minta, harap sangat nanti Zamri Mat Kasim (Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak) boleh tengok juga nanti. Kalau mereka ini (kontraktor) sub, beritahu saya nanti kita sama-sama dengan kementerian kejar mereka.

“Saya duduk dalam ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM)), saya sudah pusing semua negeri dan saya tahu kalau kata dekat Perak ini siapa dia, kalau dekat Pahang siapa dia, dekat Pulau Pinang siapa dia,” katanya.

Azman berkata demikian ketika berucap di majlis Cabutan Undi Kontraktor G1- G4 bagi Jalan Persekutuan Negeri Perak, di sini, hari ini.

Sebanyak RM32.95 Juta yang terdiri daripada 89 bilangan kerja di bawah kategori G1 hingga G4 diperuntukkan kepada Penyelenggaran Jalan Persekutuan Negeri Perak.

Hadir sama ke majlis itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Zamri dan Ketua Pegawai Eksekutif Belati Wangsa Mohamad Solan Derani.

Menurut, kerajaan sememangnya berhasrat membantu kontraktor kelas G1-G4 dengan pemberian kontrak melalui cabutan undi, supaya kemahiran serta kelas mereka dapat ditingkatkan lagi hingga boleh menjangkau peringkat antarabangsa melalui program ‘Competitiveness dan Globalization’.

Katanya, setiap tahun KKR akan membawa kontraktor yang sudah mencapai peringkat tertentu untuk membida bajet di peringkat antarabangsa, selain menerangkan timbulnya kekhuatiran mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dilihat boleh mengancam kontraktor tempatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top