suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gombak: Kekecohan di Batu Caves membabitkan Inspektor Sheila dipercayai berpunca daripada tindakannya membuat tuduhan jenayah dan melemparkan kata-kata kesat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kejadian provokasi dan mengganggu tugas penjawat awam pada jam kira-kira 6.48 pagi, semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati, pada jam 5.30 pagi, suspek yang mendakwa dirinya pegawai kanan polis telah menghampiri kawasan gerai jualan di hadapan pintu utama Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves.
“Suspek bertindak merakam video pengadu, melemparkan tuduhan jenayah, serta menggunakan kata-kata kesat yang mengaibkan sehingga mencetuskan kekecohan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih tegang apabila suspek enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis yang hadir untuk menenangkan situasi dan terus melakukan provokasi.
“Suspek kemudian telah ditahan reman bermula semalam selama satu hari dan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186, 504 dan 509 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Ariffin berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga tatatertib di tempat awam.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menimbulkan kekecohan atau menghalang tugas penjawat awam.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan identiti atau jawatan rasmi untuk kepentingan peribadi yang boleh melanggar undang-undang.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, wanita dikenali sebagai Inspektor Sheila ditahan polis selepas dipercayai membuat kecoh di Batu Caves, di sini, semalam.
Bagaimanapun, wanita itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, wanita itu ditahan kerana berlaku perkara di luar jangka yang menimbulkan kekecohan antaranya pertelingkahan dengan peniaga di kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




