am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan acara Festival Muzikal Air seakan Festival Songkran yang dijangka dianjurkan pada Mei ini akan disesuaikan mengikut budaya tempatan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak berkaitan akan menyesuaikan penganjuran acara berkenaan bagi memastikan kontroversi dan polemik negatif dapat dielakkan.
“Kita akan menyesuaikan (acara) supaya perkara-perkara yang menjadi kontroversi dan polemik ini kita dapat kendurkan,” katanya kepada media.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan pelepasan peserta Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026) bersempena Hari Wilayah Persekutuan dan VMY2026 di Pintu Masuk Pavillion Kuala Lumpur, Bukit Bintang di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Sebelum ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang beberapa acara di sekitar Bukit Bintang sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan Festival Muzikal Air.
Difahamkan penganjuran festival itu seakan Festival Songkran yang dianjurkan di Thailand bagaimanapun banyak pihak menuntut supaya acara itu dibatalkan.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, pelbagai acara dirancang sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Tahun Melawat Malaysia serta Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan berkata, program yang dilaksanakan seperti larian santai (fun run) sempena sambutan Hari Wilayah mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
“Pada awalnya kita menyasarkan kira-kira 3,000 peserta namun jumlah yang mendaftar termasuk penyertaan tanpa pendaftaran melebihi 5,000 orang.
“Ini memperlihatkan sambutan yang sangat menggalakkan, lebih-lebih lagi penyertaan membabitkan pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berharap acara maraton yang dijadualkan pada Ogos depan turut menarik penyertaan antarabangsa sekali gus meningkatkan publisiti dan membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Mudah-mudahan dengan publisiti yang baik, kita akan dapati pelancong inbound datang lebih ramai dan tentunya ini akan menjana ekonomi negara,” katanya.
Mengulas mengenai jenis acara yang mampu menarik pelancong, Ahmad Zahid berkata, ia bergantung kepada kumpulan sasaran, justeru setiap program perlu disesuaikan dengan minat segmen berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC dan Tourism Malaysia yang terus menganjurkan lawatan pengenalan (fam trip) membabitkan pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan, wartawan serta penulis media pelancongan.
“Ia harus diikuti dengan tindakan susulan. Kita tidak boleh menggunakan satu bentuk publisiti untuk semua kumpulan, sebaliknya perlu berasaskan segmen sasaran yang berbeza dan acara itu mesti sesuai dengan kumpulan berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




