Skuad futsal mohon maaf gagal di Piala Asia 2026

Skuad futsal mohon maaf gagal di Piala Asia 2026

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal memohon maaf susulan pencapaian pasukan negara di Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia.

Skuad Harimau Malaya menutup saingan Kumpulan D dengan kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas 1-6 kepada Arab Saudi di Velodrom Antarabangsa Jakarta, semalam.

Sebelum itu, Malaysia turut tewas 1-4 kepada Iran dan 0-7 kepada Afghanistan, sekali gus menghuni tangga terbawah kumpulan dan gagal mara ke suku akhir.

Addie menegaskan persembahan pasukannya tidak terlalu buruk, namun masalah utama adalah kesukaran mencipta jaringan sepanjang kejohanan.

“Pertama sekali, terima kasih kerana memberi saya peluang membimbing pasukan kebangsaan kali ini.

“Kedua, saya memohon maaf kerana prestasi pasukan… nak kata teruk, tak teruk, mungkin saya yang teruk dekat sini,” katanya.

Beliau turut memohon maaf bagi pihak pemain kerana tidak dapat menunjukkan prestasi terbaik dalam saingan kali ini.

“Mungkin tiada rezeki pada tahun ini, insya-Allah akan datang ada rezeki untuk pasukan.

“Saya harap semua yang bergiat dalam futsal di Malaysia tidak berputus asa untuk bantu pasukan negara,” tambahnya.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan pertama skuad futsal negara di pentas Piala Asia sejak layak terakhir pada 2018 di Taiwan.

Dalam 12 penampilan Malaysia sejak 1999, skuad negara hanya beraksi di peringkat kumpulan dan belum pernah mara ke suku akhir.

Addie menegaskan walaupun keputusan kurang memberangsangkan, pemain tetap menimba pengalaman berharga yang boleh dijadikan asas untuk masa depan.

“Perjalanan masih jauh dan pasukan kita semakin baik. Kita layak ke Piala Asia 2026 di Jakarta dan juga meraih pingat gangsa pada Sukan Sea 2025 di Thailand,” katanya.

Beliau berharap seluruh peminat futsal terus memberikan sokongan, terutama menjelang kejohanan AFF di Thailand pada April ini, untuk memastikan pasukan negara terus berkembang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top