am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Nyawa lebih penting. Itu yang difikirkan petugas Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak lelaki yang lemas di kolam air panas di sini, malam tadi.
Kata Nor Azura Tamsir, 35, dia segera bertindak sebaik mendengar jeritan ‘medik’ dan melihat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun sedang menarik seorang lagi kanak-kanak yang tidak sedarkan diri ke tepi kolam dengan mulut berbuih.
“Dalam keadaan cemas, saya terus melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebanyak tiga kitaran, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Lebih pilu apabila ahli keluarga mangsa tiba di lokasi dan meraung sebaik melihat keadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kejadian itu berlaku 35 minit selepas dia memulakan tugas pada 7 malam, malah sebelum itu dia sempat menegur beberapa pengunjung agar mengawasi anak masing-masing.
“Tidak sangka kejadian ini berlaku. Di kawasan itu ada sebuah kolam kanak-kanak dan sebuah kolam dewasa dengan kedalaman 1.2 meter,” katanya memaklumkan mangsa lemas di kolam dewasa.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah namun disahkan meninggal dunia.
Terdahulu Harian Metro melaporkan percutian sebuah keluarga dari Pahang bertukar tragedi apabila kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas di kolam air panas di sini, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



