Henti guna media sosial kecam sesama sendiri, tegur Shahidan

Henti guna media sosial kecam sesama sendiri, tegur Shahidan

KANGAR: Setiap ahli parti-parti komponen termasuk wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di negeri ini perlu menghentikan kecaman sesama sendiri khususnya di media sosial.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau tidak mahu mana-mana pihak dalam gabungan tersebut bertindak sedemikian yang bukan sahaja melanggar Perlembagaan, malah turut melemahkan parti.

Katanya, sekiranya perkara itu masih berlarutan, tindakan tegas akan diambil.

“Sekiranya media sosial ini digunakan untuk menyerang antara satu sama lain ia hanya akan merugikan PN. Kalau media sosial ini kita lemparkan permasalahan untuk perlekehkan orang yang kita anggap musuh, kita untung, tapi kalau guna untuk serang sesama parti, maka kita yang rugi dan dua-dua ini akan dihukum rakyat.

“Selagi mana saya sebagai Pengerusi PN negeri, saya akan pastikan benda-benda seperti ini tidak berterusan. Kita hendak menghadapi pilihan raya dan jentera seharusnya kuat.

“Untuk menjadi kuat, kita kena jaga imej kerana itu adalah kekuatan kita. Saya sudah banyak kali mengetuai pilihan raya dan saya tahu kekuatan kita adalah berdasarkan imej serta persepsi rakyat kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat PN negeri di Yayasan Pok Dan Kassim di sini malam tadi.

Teguran Shahidan itu dipercayai merujuk kepada tindakan segelintir ahli termasuk dalam kalangan wakil rakyat atau pemimpin parti yang masih berterusan menyerang sesama sendiri meskipun kemelut politik di Perlis yang membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar itu sudah semakin reda.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, beliau juga melihat tindakan sama di peringkat PN pusat namun beliau akan mencuba memainkan peranan bagi menyumbang ke arah perpaduan gabungan berkenaan.

“Hendak bergaduh sekejap sahaja, tetapi hendak berkawan atau ke arah perpaduan ini mengambil masa yang lama. Kepercayaan rakyat yang telah memilih kita bukan hendak lihat kita bergaduh.

“Disebabkan kita ‘pukul’ sesama sendiri menyebabkan kerja pihak lawan akan lebih mudah tanpa perlu berusaha keras mencari modal menyerang kita,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top