am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis sedang mengenal pasti pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita susulan penularan video kejadian di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kes berkenaan.
“Polis menerima video tular di laman sosial yang memaparkan kejadian gangguan seksual terhadap seorang wanita oleh seorang pemandu e-hailing di dalam kereta.
“Bagaimanapun hasil semakan mengesahkan tiada sebarang laporan polis berkaitan kes diterima setakat ini. Polis sedang mengenalpasti individu terbabit, saksi kejadian dan punca sebenar insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video gangguan seksual yang dipercayai dirakam penumpang wanita berkenaan dan latar belakang pemandu itu tular di laman sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




