Hasilkan karya bermutu dan cuba pelbagai perkara baharu

Hasilkan karya bermutu dan cuba pelbagai perkara baharu

georgie@hmetro.com.my

PENYANYI terkenal seberang, Raisa kini kembali memeriahkan industri muzik serantau menerusi siri jelajah istimewa bagi mempromosikan karya terbaharunya kepada peminat setianya.

Raisa atau nama penuhnya Raisa Andriana, 36, memulakan agenda seni 2026 dengan penuh semangat menerusi penganjuran konsert solo berskala besar, Raisa Ambivert Tour yang sangat dinanti-nantikan.

Perancangan rapi untuk siri jelajah ini sebenarnya sudah dibuat sejak tahun lalu bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar tanpa sebarang masalah teknikal di lokasi.

“Saya dalam keadaan sangat baik kerana tahun 2026 dimulai dengan projek menyeronokkan memandangkan siri jelajah Ambivert Tour ini sudah kami rancang rapi dari tahun sebelumnya.

“Perjalanan album Ambivert juga sangat lancar serta berjaya menyentuh hati ramai orang, jadi ini adalah permulaan tahun paling sempurna buat diri saya sendiri,” katanya.

Walaupun jadual seni padat, dia tetap mementingkan masa rehat peribadi pada awal tahun bagi mendapatkan tenaga baharu sebelum kembali bekerja keras untuk menghiburkan peminat.

Setiap awal tahun, penyanyi Percayalah ini akan meluangkan masa bercuti selama dua minggu demi memastikan kesihatan diri berada pada tahap optimum agar mampu memberikan persembahan terbaik.

Dia menyedari bahawa tugas menghiburkan penonton bukan sekadar membabitkan tenaga fizikal semata-mata, malah menuntut penyerahan jiwa raga sepenuhnya demi mencapai kepuasan maksimum peminat setia.

“Bila atas panggung, saya perlu memberikan sesuatu lebih dari sekadar tenaga fizikal kerana kita memberi sebahagian daripada diri sendiri kepada semua penonton di hadapan pentas.

“Minda, jiwa dan tubuh badan perlu berehat secukupnya untuk mendapatkan kenikmatan interaksi sesuai standard serta memberi sambungan jiwa terbaik buat penonton yang hadir,” katanya.

Mengenai impian besar untuk tahun ini, dia berhasrat terus menghasilkan karya bermutu tinggi selain mencuba pelbagai perkara baharu dalam kerjaya seninya pada masa kini.

Peningkatan kualiti produksi juga menjadi fokus utama agar setiap persembahan dapat memberikan pengalaman segar yang belum pernah dirasai oleh pengikut tegarnya.

Dia turut meletakkan sasaran untuk mencabar kemampuan diri sendiri dalam aspek penciptaan lagu serta persembahan pentas demi mencapai satu tahap piawaian yang lebih tinggi.

“Saya mahu terus berkarya dan mencuba hal-hal baharu untuk menyajikan lagi pengalaman unik yang mungkin belum pernah saya dan penonton alami bersama-sama sebelum ini.

“Secara peribadi saya mahu mencabar diri untuk meletakkan satu tanda aras baharu dalam aspek karya dan juga persembahan pentas pada masa hadapan,” katanya.

Perasaan beraksi di hadapan ribuan peminat memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila melihat reaksi positif serta nikmat tidak terhingga daripada orang ramai.

Bermula daripada proses menghasilkan lagu dengan idea kosong di dalam bilik sehingga akhirnya didengari dan dinyanyikan semula oleh peminat adalah pusingan proses lengkap yang indah untuknya.

Raisa mengakui segala kepenatan atau emosi tidak stabil sebelum naik ke pentas akan hilang serta-merta sebaik sahaja dia menerima tenaga luar biasa daripada penonton.

“Sejujurnya perasaannya bikin ketagih, bayangkan proses menulis lagu dari tiada apa-apa menjadi sesuatu yang didengar ramai dan dinyanyikan kembali semula kepada kita semua.

“Ia adalah satu keistimewaan luar biasa amat saya syukuri apabila melihat orang ramai menyanyikan lagu hasil karangan saya yang hanya dimulakan dalam kamar tidur sendiri,” katanya.

Album terbaharunya ambiVert turut memaparkan kematangannya dari segi penulisan lirik selepas melalui pelbagai fasa kehidupan serta pertemuan dengan ramai pemuzik hebat lain.

Raisa sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu mengenai perasaan manusia, justeru cuba mencari sudut pandang berbeza untuk diterjemahkan ke dalam bentuk lagu pada kali ini.

Walaupun banyak lirik lagunya kali ini lebih mendalam, susunan muzik yang ditampilkan adalah lebih ringkas dengan penggunaan banyak bunyi akustik berbanding album terdahulu sebelum ini.

“Saya berasa penulisan lagu kini jauh lebih dewasa dan lebih bermakna kerana membabitkan kisah orang lain yang lebih mendalam berbanding album sebelumnya hasil pengalaman hidup dipelajari sendiri.

“Secara lirik mungkin lebih berat, namun dari segi melodi dan susunan muzik, ia lebih ringan serta banyak menggunakan bunyi-bunyian akustik yang santai didengar,” katanya.

Konsert jelajah itu bakal menyajikan pengalaman imersif kepada penonton dengan rekaan set pentas, pencahayaan dan warna yang disusun rapi mengikut tema album terbabit nanti.

Sesi penceritaan akan menjadi elemen penting dalam persembahan ini bagi membolehkan dia berinteraksi secara lebih dekat dan peribadi dengan setiap peminat yang hadir.

Selain lagu baharu, dia juga menjanjikan sesi karaoke bersama penonton membabitkan koleksi lagu lama serta kegemaran ramai yang jarang didendangkan dalam persembahan biasa sebelum ini.

“Kami akan membawakan satu set penuh album ini berserta hiasan pentas untuk mewujudkan pengalaman imersif seperti yang pernah dilakukan sewaktu di Jakarta dahulu.

“Jangan takut datang hanya untuk mendengar lagu baharu kerana kita tetap ada sesi karaoke bersama lagu-lagu lama kegemaran peminat sepanjang konsert berlangsung,” katanya.

Raisa Ambivert Tour di Zepp Kuala Lumpur berlangsung pada 13 Februari ini yang turut menampilkan Barsena Bestandhi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top