Pelajar tingkatan 2 maut tercampak ke lubang pembetungan 10 m

Pelajar tingkatan 2 maut tercampak ke lubang pembetungan 10 m

am@hmetro.com.my

Tampin: Perjalanan pulang dua beradik daripada menjamu selera bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas motosikal dinaiki mereka terjatuh ke dalam lubang pembetungan yang dalam pembinaan dekat Jalan Bunga Tanjung di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.10 malam tadi itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan dua menaiki sebuah motosikal bersama abangnya yang berusia 17 tahun, dan mereka dalam perjalanan ke rumah kawan di Kuala Ina, di sini.

Ketua Polis Negeri Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, motosikal yang dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum ia terbabas dan mangsa tercampak ke dalam lubang sedalam 10 meter (m) itu.

“Kemalangan jalan raya di Jalan Bunga Tanjung membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y100 yang ditunggang seorang lelaki berumur 17 tahun bersama adiknya, seorang remaja lelaki berumur 14 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati penunggang bersama pembonceng dalam perjalanan dari Pekan Tampin menghala ke Kuala Ina selepas selesai makan malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan terus melanggar pembetung yang dalam pembinaan di bahu sebelah kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pembonceng tercampak jatuh ke dalam lubang pembetung itu. Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba,” katanya.

Amiruddien berkata, akibat kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami cedera ringan, manakala pembonceng disahkan meninggal dunia kira-kira 11.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya ini diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sritharan di talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top