Mexico akan 'hentikan' penghantaran minyak ke Cuba -Trump

Mexico akan 'hentikan' penghantaran minyak ke Cuba -Trump

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata, Mexico akan berhenti menghantar minyak ke Cuba, yang sudah bergelut selepas bekalan daripada pembekal tradisionalnya Venezuela berkurangan susulan kejatuhan Nicolas Maduro.

“Ia sebuah negara yang gagal. Mexico akan berhenti menghantar minyak kepada mereka,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval apabila ditanya tentang Cuba.

Selama bertahun-tahun, sehingga penggulingan Maduro, ekonomi Cuba bergantung dengan bekalan minyak Venezuela yang murah.

Pengakhiran bekalan daripada Mexico juga akan memperdalam lagi krisis ekonomi paling serius di Cuba sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.

Tiada respons segera daripada Mexico terhadap komen Trump.

Presiden AS meluluskan ‘tarif hukuman’ terhadap negara-negara yang membekalkan minyak ke Cuba.

Dekri itu secara berkesan memaksa rakan kongsi Cuba untuk memilih antara perdagangan dengan ekonomi terbesar di dunia, atau dengan Cuba, negara pulau miskin yang mempunyai 11 juta penduduk.

Mexico enggan mengurangkan bekalan, dengan Presiden Claudia Sheinbaum memberi amaran tentang “krisis kemanusiaan yang meluas yang secara langsung menjejaskan hospital, bekalan makanan dan perkhidmatan asas lain untuk rakyat Cuba.”

Tetapi AS adalah rakan perdagangan terbesar Mexico, dan tarif boleh merosakkan ekonomi yang sudah perlahan berkembang.

Sambil mengulangi “solidariti abadi” beliau dengan rakyat Cuba, Sheinbaum menambah, “Kami tidak mahu meletakkan negara kami dalam risiko dari segi tarif.”

Beliau juga berkata bahawa semasa perbualan telefon pada Khamis dengan Trump, kedua-dua pemimpin “tidak pernah membincangkan” isu minyak dengan Cuba.

Dalam ucapan Pejabat Ovalnya, Trump sekali lagi berkata pentadbirannya sedang berbincang dengan pemimpin Cuba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top