am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk dilepas dan dibebaskan daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, atas alasan utama iaitu Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.
Peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, ia berikutan sudah lebih dua tahun anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi.
“Jadi tak adil untuk seseorang itu, jika pertuduhan sentiasa tergantung atas kepala beliau. Beliau perlu mencari kebenaran,” katanya.
Hisyam berkata, permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari lalu dan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor menetapkan pada 24 Februari ini untuk pendengaran.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad ketika ditemui turut mengesahkan perkara berkenaan.
“Pihak kami menerima permohonan pada 30 Januari lalu dan mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini,” katanya.
Nurulhuda Nur’Ain sepatutnya mendengar permohonan itu hari ini, bagaimanapun Badius Zaman memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya memohon pendengaran ditangguhkan kerana baru diserahkan permohonan terbabit pada Jumaat lalu.
Hakim kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan dan mengarahkan Pendakwa Raya memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini.
Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan pada awal Januari, memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Menurutnya, ia selaras kuasa dan budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan mengklasifikasikan kes sebagai NFA hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Mohd Dusuki berkata, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’ dan jabatan itu tidak akan memberikan NFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 4 September 2023 memutuskan DNAA terhadap Ahmad Zahid daripada semua 47 tuduhan selepas membenarkan permohonan Mohd Dusuki yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya.
Mohd Dusuki berkata, pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kerana berhasrat menyiasat kes berkenaan dengan lebih mendalam.
Ahmad Zahid sebelum itu menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari 2023, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari tahun sama.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau turut berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
© New Straits Times Press (M) Bhd




