sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan remaja lelaki baharu negara, Yeoh Kay Bin tidak boleh menjanjikan keajaiban melahirkan pemain bertaraf dunia dalam masa singkat, sebaliknya ia memerlukan masa yang mencukupi untuk mencapai perkara sedemikian.
Justeru, Kay Bin melihat tugas genting menanti dirinya terutama merangka perancangan yang lebih teliti untuk pemain muda negara agar jurang prestasi yang ada ketika ini dapat dikecilkan dengan wakil negara lain yang semakin jauh ke hadapan.
Katanya, program seperti Pengenalpastian Bakat (TID) antara platform yang bagus namun menyeru agar semua pihak bersabar untuk melihat kejayaan kerana setiap aspek memerlukan masa yang mencukupi.
“Sudah tentu ini satu cabaran besar, tetapi kita kena mula sekarang kerana kita tidak boleh tangguh lagi jika mahu melihat hasil pada masa depan.
“Kita tidak boleh harapkan keajaiban dalam masa singkat, apa yang penting adalah membina pemain sebaik mungkin dengan apa yang kita mampu lakukan ketika ini,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Selain itu, bekas jurulatih perseorangan profesional Lee Zii Jia itu akan memulakan langkah pertama dengan mengenal pasti setiap kekuatan serta keupayaan pemain, cara pemikiran dan teknikal sebelum bertindak mengikut kemampuan pemain itu sendiri.
Beliau akan dibantu oleh dua jurulatih lain, Goh Giap Chin dan Alvin Chew bagi mengendalikan seramai 18 pemain berusia antara 15 hingga 18 tahun. Antara tumpuan yang akan menjadi keutamaan selepas ini adalah aspek pembangunan kemahiran dan fizikal secara berperingkat serta berasaskan sains sukan.
Malah, jurulatih berusia 46 tahun itu turut berpendapat tahap kecederaan juga perlu diberikan perhatian kerana perkara seperti ini sangat bermakna untuk kerjaya seorang pemain badminton negara.
“Kita masih menekankan aspek fizikal, tetapi dengan cara yang lebih saintifik supaya asas yang kuat dapat dibina tanpa mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan serius,” katanya.
Untuk rekod, Kay Bin antara barisan jurulatih baharu yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan secara rasmi memulakan tugasnya semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




