Pelajar A tidak tuduh Zara Qairina mencuri – Saksi

Pelajar A tidak tuduh Zara Qairina mencuri – Saksi

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pelajar A yang berdepan pertuduhan menghina Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak, tidak pernah menuduh atau mengesyaki Allahyarham mencuri barangan miliknya yang hilang di asrama.

Ibu pelajar berkenaan yang memberi keterangan sebagai saksi ke-62 pada inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner hari ini memaklumkan demikian selepas ditanya peguam Shahlan Jufri mewakili ibu Zara.

Saksi berkata, tuduhan itu yang disifatkannya sebagai fitnah berkemungkinan disebabkan situasi dihadapi Zara yang didakwanya dikelilingi musuh yang menikam dari belakang.

“Tidak, dia (Pelajar A) menyatakan tidak syak Zara. Dia pernah cerita kepada saya tidak pernah syak Zara yang mencuri dan tidak pernah tuduh Zara yang curi sebab dia rapat dengan Zara.

“Dan tempoh masa itu, mereka berkawan baik. Tapi Zara dikelilingi musuh yang menikam dari belakang, itu kesimpulan saya daripada cerita Pelajar A,” katanya menjawab soalan Shahlan pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Sebelum itu, Shahlan bertanya mengenai ‘spot check’ berikutan aduan kehilangan barang seorang pelajar di bilik asrama pada 14 Julai 2025, selain mengenai kehilangan dompet Pelajar A.

Shahlan: Adakah puan tahu ‘spot check’ telah dibuat pada 14 Julai 2025 kerana ada kehilangan duit seorang pelajar?

Ibu Pelajar A: Saya tidak tahu masa itu, saya tahu selepas kejadian apabila pelajar A (anaknya) balik ke Labuan.

Shahlan: Siapa pelajar yang anak puan syak mencuri hingga ‘spot check’ pada 14 Julai dibuat?

Ibu Pelajar A: Ini maksud saya ‘spot check’ di kelas kan, ini duit (nama pelajar) yang hilang kan, bukan duit dia (pelajar A). Dia tak syak sesiapa.

Shahlan: Kenapa dia tidak cerita?

Ibu Pelajar A: Sebab anak saya jenis bukan suka menuduh.

Shahlan: Boleh beri pendapat puan mengenai insiden ‘spot check’ pada 14 Julai 2025, anak puan salah seorang yang mengesyaki Zara?

Ibu Pelajar A: Pendapat saya ini adalah satu fitnah, saya kenal anak saya.

Sementara itu, saksi berkenaan menyifatkan keterangan yang diberikan anaknya kepada polis sebelum ini sebagai ‘killer statement’ yang tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya.

Perkara itu disebutnya selepas Shahlan meminta penjelasan berhubung jawapannya apabila ditanya bahawa mesej WhatsApp yang dihantar ibu arwah Zara adalah ‘diforwardkan’ dan bukan ditulis oleh ibu arwah sendiri.

Ia berkaitan hantaran mesej WhatsApp oleh ibu arwah Zara kepada saksi yang didakwanya meminta beliau membuat penafian terhadap kenyataan Pelajar A yang ibu Zara dakwa diputar belit.

Shahlan: Boleh jelaskan?

Ibu Pelajar A: Sebab ‘statement’ anak saya, bagi saya adalah ‘killer’ dalam kes ini, jadi saya tak boleh sewenang-wenangnya nafikan.

Shahlan: Apa maksud puan dengan ‘killer statement’?

Ibu pelajar A: Terutamanya Zara ingin bunuh diri, banyak kali diulang, diluahkan kepada (Pelajar A). Sebelum Jumaat, 25 Julai, ibu Zara ada tanya kepada saya apa Pelajar A beritahu padahal saya masa itu tak paksa anak saya cerita. Dia hanya cerita setelah sampai di Labuan, pada minggu itu juga saya kena datang ke Balai Polis Labuan, minggu itu, tapi saya lupa tarikh.

Terdahulu, Shahlan bertanya sama ada ibu Pelajar A kurang memahami mesej dihantar ibu Zara sebelum ini yang hanya mahu ibu Pelajar A membuat penafian dengan membuat laporan polis jika benar keterangan anaknya diputar belit.

Ia berkaitan keterangan anaknya yang ada menyebut bahawa arwah Zara pernah memberitahunya ingin membunuh diri.

Bagaimanapun, saksi bertegas memahami maksud mesej ibu arwah itu sebagai memintanya membuat penafian terhadap kenyataan anaknya dan beliau enggan melakukannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top