11 pelajar USIM jadi imam tarawih di Osaka

11 pelajar USIM jadi imam tarawih di Osaka

am@hmetro.com.my

Nilai: Kepercayaan komuniti Muslim di Jepun terhadap Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terserlah apabila 11 pelajarnya dipilih untuk berkhidmat sebagai imam solat Tarawih sepanjang Ramadan di Osaka.

Mereka akan melaksanakan tugasan itu dari 16 Februari hingga 25 Mac 2026.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani, berkata program berkenaan inisiatif akademik dan dakwah digerakkan Pusat Iqra USIM bagi menyediakan pelajar berkelayakan sebagai imam di negara matahari itu.

“Saya melihat peluang ini sebagai satu ruang terbaik untuk pelajar USIM mempraktikkan ilmu dipelajari, di samping membawa imej institusi yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam pengajian.

“Pengalaman berkhidmat sebagai imam di peringkat antarabangsa bukan sahaja menguji keupayaan ilmu dan kemahiran pelajar, malah membentuk keperibadian serta kefahaman mereka dalam konteks masyarakat yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelidik Pusat Iqra USIM, Dr Norazman Alias, menjelaskan semua pelajar terbabit melalui proses pemilihan untuk menyertai program terbabit.

Sebagai persediaan awal, katanya mereka perlu mengikuti kursus persediaan intensif bermula 3 hingga 11 Februari ini, yang merangkumi latihan asas bahasa Jepun serta pemantapan bacaan dan penghayatan al-Quran, di bawah bimbingan pensyarah USIM.

“Program ini inisiatif yang memberi penekanan kepada pemilihan calon berasaskan keupayaan bacaan al-Quran, kefahaman agama serta kesediaan untuk berkhidmat dalam persekitaran masyarakat minoriti Muslim di Jepun.

“Pada peringkat awal 30 calon daripada beberapa fakulti menjalani sesi temu duga sebelum 11 pelajar dipilih,” katanya.

Pelajar terpilih, Abdul Halim Mohd Nor, 25, menyifatkan peluang berkenaan pengalaman berharga untuk menimba ilmu dan merasai suasana baharu, khususnya menjalani ibadah puasa di negara minoriti Muslim di Osaka.

Menurutnya, beliau tidak menyangka terpilih meskipun pernah dilantik imam Tarawih di Surau An-Nur, Semenyih di Selangor pada Ramadan lalu.

“Pengalaman awal itu banyak membentuk keyakinan diri dan kefahaman saya tentang tanggungjawab seorang imam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top