Rabat: Persekutuan Bolasepak Maghribi (FRMF) akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan disiplin dan denda yang dikenakan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) susulan kekecohan pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Senegal bulan lalu.
FRMF dikenakan denda keseluruhan berjumlah AS$315,000 (RM1.2 juta) bulan lalu, selain penggantungan terhadap dua pemainnya.
Dalam satu kenyataan, FRMF berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ‘bagi memelihara semua hak yang dijamin oleh peraturan’, sambil menegaskan hukuman yang dikenakan ‘tidak sepadan dengan skala dan keseriusan insiden yang berlaku’.
Final AFCON pada 18 Januari lalu berlangsung penuh drama sejak penghujung masa sebenar apabila jaringan Ismaila Sarr dibatalkan susulan kekasaran terhadap pemain terbaik Afrika 2025, Achraf Hakimi.
Maghribi kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas Brahim Diaz dijatuhkan, sekali gus mencetuskan bantahan keras pemain dan penyokong Senegal.
Bagaimanapun, Maghribi gagal menyempurnakan sepakan penalti yang tertangguh lama itu apabila percubaan lemah Diaz berjaya diselamatkan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.
Perlawanan diteruskan ke masa tambahan sebelum Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan untuk menghadiahkan Senegal gelaran AFCON kedua mereka.
Ketika perlawanan dihentikan akibat kontroversi penalti itu, sebahagian penyokong Senegal bertindak membaling objek ke dalam padang manakala beberapa individu menceroboh padang sebelum campur tangan pihak keselamatan dan polis.
Maghribi didenda AS$200,000 (RM786,400) atas kesalahan ‘tingkah laku tidak wajar’.
Satu lagi denda berjumlah AS$100,000 (RM393,200) dikenakan kerana ‘kelakuan tidak profesional’ pemain dan pegawai teknikal yang menceroboh kawasan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) serta mengganggu tugas pengadil dari Congo.
Selain itu, denda AS$15,000 (RM58,900) turut dikenakan selepas penyokong Maghribi menggunakan pancaran laser bagi mengganggu tumpuan pemain Senegal.
Penyerang Maghribi, Ismael Saibari, digantung tiga perlawanan dan didenda AS$100,000 (RM393,200, manakala kapten dan pertahanan, Achraf Hakimi, digantung dua perlawanan.
Persekutuan Bolasepak Senegal (FSF), yang turut didenda keseluruhan AS$615,000 (RM2.4 juta) atas pelbagai kesalahan pada perlawanan akhir itu serta menyaksikan ketua jurulatihnya, Pape Thiaw, digantung lima perlawanan, turut memaklumkan akan mengemukakan rayuan.
Dua pemain Senegal, Iliman Ndiaye dan Ismaila Sarr, masing-masing dikenakan penggantungan dua perlawanan atas kesalahan ‘kelakuan tiada semangat kesukanan terhadap pengadil’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




