Penganjur Makar Fast XL mohon maaf

Penganjur Makar Fast XL mohon maaf

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penganjur Makar Fest XL yang diadakan di Tunjung di sini, memohon maaf berkenaan isu yang tular di media sosial mengenai persembahan dan tarian penonton konsert, Sabtu lalu.

Pengarah Festival, Issey Fazlisham berkata, Makar Fest XL itu adalah yang kelima dianjurkan pihaknya.

Katanya, Makar Fest XL berlangsung selama tiga hari dilaksanakan mengikut garis panduan dan enakmen hiburan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Pelbagai inisiatif yang kami buat untuk menjayakan program itu, antaranya sebelum acara pentas bermula, kami tayangkan video mengenai etika panggung.

“Ia bagi memberi peringatan kepada semua yang hadir mengenai apa yang boleh dan apa tidak boleh dilakukan semasa menonton acara pentas. Contohnya pengasingan antara lelaki dan perempuan, tidak boleh buang sampah, tidak boleh berjoget, harus tertib dan juga beradab.

“Saya sebagai pengacara dan setiap kali naik pentas, saya akan ingatkan kepada semua penonton supaya tidak berjoget, menjaga adab dan tertib sepanjang acara,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di TikTok.

Menurutnya, walau bagaimanapun terdapat segelintir individu berada di luar kawalan pihak penganjur dan didapati melakukan pergerakan yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, pihak krew keselamatan dan pasukan Makar Fest bertindak segera sebaik saja situasi itu dikesan dan untuk makluman jumlah kehadiran penonton pada malam itu melebihi jangkaan pihak penganjur.

“Bila orang terlalu ramai, kawalan lebih mencabar di beberapa kawasan tertentu. Depan sampai belakang kami ada buat pengasingan apabila semua dah penuh belakang ini kami tidak dapat kawal.

“Pasukan kami cepat bertindak dan penganjur sentiasa komited serta mengambil tindakan pantas bagi memastikan pematuhan peraturan sentiasa terjamin, namun ada juga di luar kawalan.

“Justeru, kami mohon maaf pada semua pihak dan akan menambah baik bagi penganjuran lain pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Kelantan mendapati berlaku pelanggaran syarat dan garis panduan yang ditetapkan ketika persembahan dan tarian penonton konsert di program Makar Fest XL di Tunjung pada Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, perlanggaran syarat oleh penonton berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup kira-kira jam 10.30 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top