Masalah visa, tiket mahal isu utama Olimpik LA 2028

Masalah visa, tiket mahal isu utama Olimpik LA 2028

Milan: Isu visa dan harga tiket yang mahal untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) menjadi tumpuan dalam laporan kemajuan yang dibentangkan oleh pihak penganjur kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Beberapa anggota IOC, termasuk ketua Persekutuan Ekuin Antarabangsa, Ingmar De Vos, menimbulkan isu visa kemasukan bagi ratusan ribu atlet, keluarga mereka, pegawai, media dan peminat ke AS, dan menyoal penganjur LA 2028 sama ada proses itu boleh dipermudahkan.

Dagmawit Girmay Berhane, anggota IOC dari Ethiopia berkata, penganjur perlu memastikan kejohanan kelayakan Olimpik yang diadakan di AS sepanjang dua tahun akan datang turut memberi akses kepada semua atlet yang layak.

“Kami sudah bekerjasama rapat dengan Jabatan Negara (AS) untuk mereka sistem visa khas bagi membolehkan atlet mendapat akses kepada sistem visa yang direka khusus untuk mereka,” kata Gene Sykes, pengerusi Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS.

Beliau menambah kerjasama rapat dengan pihak berkuasa AS sedang dijalankan bagi mempermudahkan proses sebaik mungkin. Ini bukan kali pertama anggota IOC menimbulkan isu visa kepada penganjur, dengan Rumah Putih sebelum ini sudah menubuhkan pasukan khas untuk menguruskan visa.

Tahun lalu, Presiden AS, Donald Trump melarang kemasukan warganegara beberapa negara ke negara itu.

Sukan Olimpik mampu menarik ratusan ribu pengunjung dari seluruh dunia sepanjang 16 hari acara, dengan lebih 200 negara mengambil bahagian dan lebih 10,500 atlet bertanding.

Anggota IOC turut menimbulkan isu harga tiket LA 2028 ang dikatakan jauh lebih mahal berbanding Sukan Olimpik Paris 2024.

“Apabila anda membayar secara peribadi untuk Sukan Olimpik, kami hanya ada dua sumber pendapatan: penajaan dan tiket. Harga tiket kami secara purata 17 peratus lebih tinggi berbanding Paris.

“Untuk berlaku adil, peluang ekonomi dan perbezaan empat tahun (dari Paris) membolehkan kami menetapkan harga lebih tinggi. Jadi saya faham sebahagian tiket memang mahal,” kata Ketua Penganjur LA 2028, Casey Wasserman, dalam sesi IOC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top