Timbul spekulasi sebuah jenama tempatan terkenal didakwa menunggang kontroversi Puteri Balqis selepas mereka menjalin kerjasama tatkala isu panas melibatkan aktres itu hangat diperkatakan.
Sesi live jualan terbabit yang menampilkan pelakon drama bersiri Keluarga Itu sebagai tetamu undangan mendapat perhatian orang ramai dengan meraih 1.2 juta tanda suka serta lebih 6,000 tontonan.
Jenama terbabit, Dr Cardin menolak dakwaan segelintir netizen yang mendakwa mereka sengaja mengambil kesempatan atas kontroversi melibatkan Balqis.
Ketua Penjenamaan jenama itu, Chong Charl Yee, kerjasama bersama Balqis sebenarnya sudah dimeterai lebih awal sebelum isu melibatkan aktres itu dan Mia Sara tular.
Katanya, ramai yang bertanya mengenai perkara itu, namun pihaknya sudah mengesahkan kehadiran Balqis lebih awal.
“Kami sudah mengesahkan kerjasama dengan Puteri Balqis lebih awal. Secara kebetulan, beberapa hari sebelum sesi ‘live’, namanya tiba-tiba menjadi tular.
“Perkara itu memang di luar jangkaan kami,” katanya ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen The Raya Table by Dr Cardin, baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan Jadi Kambing Hitam” – Puteri Balqis Seru Mangsa Buli Bangkit Melawan
Menurutnya, pihak jenama pada mulanya berasa bimbang dengan situasi tersebut, namun ia akhirnya memberi kesan positif kepada kempen berkenaan.
“Sebagai jenama, memang ada rasa risau pada peringkat awal. Tetapi kami bersyukur kerana sesi itu menarik kehadiran ramai penonton. Jualan juga capai sasaran dan banyak produk habis terjual,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman bekerjasama, Charl Yee menyifatkan Balqis sebagai individu yang profesional serta mudah memberikan komitmen.
“Daripada apa yang saya lihat dan maklum balas pasukan saya, dia sangat merendah diri dan senang bekerjasama. Sikapnya pun baik dan memudahkan urusan sepanjang program,” katanya.
Tambahnya lagi, jenama mereka terbuka untuk meneruskan kolaborasi pada masa depan, termasuk kemungkinan menampilkan aktres itu dalam kempen koleksi baharu.
“Saya tidak menolak kalau ada peluang untuk bekerjasama lagi. Kalau sesuai dengan konsep kempen akan datang, kami memang berminat,” jelasnya.



Dalam masa sama, Dr Cardin turut memperkenalkan duta kempen raya 2026 iaitu Erysha Emyra dan Hun Haqeem selain melancarkan koleksi Aidilfitri terbaharu merangkumi beg tangan, kasut tumit tinggi serta sandal.
“Untuk koleksi raya kali ini, kira-kira 80 peratus produk memfokuskan wanita kerana golongan itu paling banyak membuat persiapan. Jadi kami tampilkan rekaan beg dan kasut yang lebih elegan dan sesuai digayakan ketika perayaan,” katanya.




