BEIJING: Syarikat pembuat robot humanoid China, EngineAI, merancang untuk menghantar robot humanoid PM01 ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan komersial.
Menurut laporan laman berita CNEVPost, EngineAI pada 26 Januari mengumumkan kerjasama dengan syarikat Beijing Interstellar Human Spaceflight Technology bagi melaksanakan program tersebut.
Syarikat yang berpangkalan di Shenzhen itu memaklumkan misi angkasa lepas meletakkan tuntutan ekstrem terhadap kestabilan robot, keupayaan penyesuaian persekitaran serta membuat keputusan secara autonomi berikutan keadaan luar angkasa yang mencabar.
Menurut EngineAI, ia akan bekerjasama rapat dengan Interstellar bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan keupayaan pelaksanaan tugas PM01 di angkasa lepas.
Syarikat itu berkata, robot humanoid berpotensi mengatasi keupayaan manusia dalam operasi angkasa lepas tertentu atau mengurangkan risiko untuk kru manusia.
Ia termasuk penyelenggaraan luaran stesen angkasa, penerokaan persekitaran berbahaya dan pemantauan jangka panjang, lapor laman berita kejuruteraan Interesting Engineering.
Robot PM01 setinggi 1.38 meter mempunyai berat kira-kira 40 kilogram (kg), direka untuk tujuan penyelidikan yang menggabungkan pergerakan seakan manusia dengan kecerdasan robotik canggih.
Ia dilengkapi paparan teras untuk interaksi, struktur bionik yang meniru pergerakan manusia dan bahagian pinggang mampu berputar sehingga 320 darjah.
Jun tahun lalu, EngineAI melancarkan versi komersial ringan dikenali sebagai PM01 JD Joy Inside di platform e-dagang JD.com, dengan harga sekitar AS$27,000 (RM106,794).
Pada Disember tahun lalu, EngineAI menimbulkan keraguan selepas menerbitkan video memarkan robot humanoid T800 melakukan demonstrasi fizikal, termasuk memecahkan pintu, menumbuk dan menjatuhkan pengasas syarikat tersebut semasa sesi latihan.- AGENSI




