harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan bertemu Perdana Menteri berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan diumumkan baru-baru ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, pihaknya akur dengan arahan pembekuan itu namun menjelaskan ia turut memberi kesan kepada perbelanjaan operasi (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE).
“Sudah tentu bila perolehan dibekukan saya difahamkan buat sementara namun sudah tentu menjejaskan kita punya perjalanan dari segi pembangunan ataupun operasi.
“Perbelanjaan ini yang menguruskan semua rutin harian termasuk operasi yang sedang dijalankan sekarang, jika DE ini jangka panjang jadi boleh tunggu,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-24, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Menurutnya, perbelanjaan operasi termasuk kos makan, minum, pengangkutan, pergerakan pegawai dan anggota yang menjalankan operasi di lapangan, justeru sudah tentu ia memberi kesan kepada kesiagaan ATM secara keseluruhan.
Katanya, perbelanjaan OE tiga cabang ATM dianggarkan RM2 bilion bagi Tentera Darat (TD), dan masing-masing RM1.5 bilion bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Malek Razak berkata beliau difahamkan kepimpinan tertinggi MINDEF kini dalam peringkat akhir sebelum bertemu kerajaan dijangka dalam minggu hadapan.
“Saya sudah dimaklumkan daripada pihak MINDEF dan juga daripada KSU (Ketua Setiausaha) bahawa perkara ini di peringkat akhir dan kita akan bentang, dan rayu kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Ia sekurang-kurangnya untuk melepaskan OE itu, supaya kita dapat teruskan operasi, jika tidak kesiagaan kita akan menurun. Saya rasa dengan justifikasi yang diberikan ini dana perbelanjaan paling penting akan dilepaskan, “katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




