KKR laksana 99 projek baik pulih cerun babitkan kos RM77.3 juta

KKR laksana 99 projek baik pulih cerun babitkan kos RM77.3 juta

am@hmetro.com.my

Jelebu: Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan kerja baik pulih cerun membabitkan 99 projek yang membabitkan kos keseluruhan berjumlah sebanyak RM77.3 juta di seluruh negara, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata daripada jumlah itu 90 daripadanya adalah projek sambungan daripada tahun lalu membabitkan kos berjumlah RM59.7 juta, manakala lapan lagi adalah projek kelulusan khas membabitkan kos berjumlah RM16.6 juta.

“Satu lagi projek keutamaan yang akan dilaksanakan tahun ini membabitkan kos RM1 juta.

“Tahun ini kementerian ini (KKR) menerima peruntukan sebanyak RM260 juta yang akan digunakan bagi melaksanakan projek membaiki cerun berisiko tinggi.

“Peruntukan yang sudah diluluskan ini akan diagihkan mengikut lokasi atau mengikut keperluan sesuatu projek yang kritikal di kawasan yang tertentu.

“Keperluan untuk melaksanakan kerja baik pulih cerun ini penting dari segi keselamatan kerana ia membabitkan laluan utama.

“Kita tidak mahu rakyat terputus hubungan akibat masalah cerun ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Arahan Kerja (AK) Pembaikan Cerun di Laluan Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) Telapak Buruk, di Dataran Bukit Tangga, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JKR (Sektor Infra) Mohd Shahrom Ahmad Saman; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Datuk Wan Hasnan Wan Musa dan Pengarah Kejuruteraan Cerun JKR, Mohd Shaifuddin Abdul Razak.

Nanta berkata, projek pembaikan cerun VHF Telapak Buruk, adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan stesen pemancar itu dapat beroperasi tanpa sebarang gangguan, memandangkan ia dikategorikan sebagai Sasaran Penting Keutamaan 1 (SP1).

Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan kos RM109 juta sudah dilaksanakan oleh JKR melalui AK kepada kontraktor jangka panjang, bermula pada 24 November 2022 dan siap sepenuhnya pada 14 Oktober 2025.

“Kontrak jangka panjang penyelenggaraan cerun ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan, malah sejajar dengan hala tuju KKR untuk menyediakan infrastruktur yang selamat, selesa dan bertaraf dunia.

“Dengan pelaksanaan kontrak ini, kerja pembaikan cerun yang kritikal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan berbanding melalui proses perolehan biasa,” katanya menambah sepanjang pelaksanaan projek itu, JKR menghadapi pelbagai cabaran signifikan, termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu serta topografi tapak yang mencabar.

Sementara itu, Nanta berkata, KKR sudah meluluskan sebanyak RM19.5 juta bagi kerja berkala Pavemen di Zon Selatan tahun ini membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan masing-masing menerima kelulusan peruntukan RM7 juta, RM2.7 juta dan RM9.8 juta.

“Sementara bagi kerja berkala bukan Pavemen, jumlah keseluruhan kelulusan bagi ketiga-tiga negeri itu sebanyak RM57.2 juta dengan Negeri Sembilan menerima RM19 juta, Melaka (RM7 juta) dan Johor (RM31.2 juta),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top