'Watak berat tetapi tidak rela melepaskan'

'Watak berat tetapi tidak rela melepaskan'

am@hmetro.com.my

Enggan berada di zon selesa, pelakon, Amyza Aznan nekad menyahut cabaran membawakan watak wanita mandul dalam drama, Anugerah Tanpa Cahaya meskipun sedar naskhah itu bakal menuntut air mata dan emosi yang cukup berat.

Mengakui naskhah itu sebagai sebuah karya berat, Amyza, 50, mendedahkan dia pada mulanya hampir menolak tawaran untuk membintangi drama terbabit.

Menurut Amyza, cabaran utama kali ini adalah apabila dia perlu menjiwai watak seorang ibu yang tidak pernah mempunyai anak kandung, sekali gus menghalangnya daripada menggunakan pengalaman peribadi sebagai rujukan emosi.

“Pada awalnya memang saya tak nak ambil sebab drama ini kisahnya memang berat. Biasanya sebagai seorang pelakon, kita akan aplikasi apa yang berlaku dalam hidup ke dalam lakonan.

“Tapi untuk watak ini, saya rasa tak boleh nak aplikasi pengalaman sendiri sebab dia seorang ibu yang tak pernah ada anak (kandung). Jadi, macam mana nak bawa rasa sedih itu? Memang mencabar, tapi saya fikir ini adalah satu cabaran sebagai pelakon dan akhirnya saya terima,” katanya.

Selain itu, Amyza menyifatkan tuntutan daripada pengarah sebagai satu lagi cabaran besar yang perlu digalasnya sepanjang penggambaran.

“Kalau setakat berlakon drama sedih biasa, itu tiada masalah kerana kita boleh ‘curi’ sikit daripada kisah hidup kita.

“Namun, pengarah kali ini mahukan sesuatu yang berbeza dan belum pernah saya lakukan dalam drama sebelum ini. Itulah antara cabaran paling besar buat saya dalam naskhah ini,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun wujud perasaan teragak-agak pada mulanya, Amyza akhirnya akur apabila memilih untuk mencabar keupayaan dirinya menerusi drama itu.

Amyza turut berkongsi, faktor utama yang mendorong dia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama terbabit adalah kerana ingin mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan sepanjang kerjaya seninya iaitu membawa watak sebagai seorang wanita mandul.

“Apa yang dorong saya untuk terima juga adalah kerana saya nak cabar diri sendiri sebab sebelum ini saya tak pernah bawa watak sebagai wanita mandul.

“Persoalan utama yang bermain di fikiran saya adalah bagaimana saya nak jujur dalam menyampaikan rasa itu kepada penonton. Itu yang membuatkan saya rasa, ‘okay tak apa, kita buat’,” katanya.

Meskipun sekadar lakonan, Amyza mengakui emosinya turut terkesan secara peribadi apabila berhadapan dengan babak yang membabitkan kebiadapan seorang anak terhadap orang tuanya.

Menurut Amyza, prinsip menghormati ibu bapa adalah perkara yang tidak boleh dikompromi, tidak kira sama ada individu itu mempunyai ikatan darah ataupun sekadar status penjaga.

“Bagi saya, tak sepatutnya seorang anak bersikap biadap kerana walau macam mana pun, dia tetap ibu. Sama ada mak angkat ke atau dia hidup miskin sekalipun, merekalah yang membesarkan awak.

“Sebab merekalah awak jadi manusia dan nasib awak terbela. Jadi tak kisahlah mak angkat atau bapa angkat, tetap kena hormat mereka,” katanya ketika mengulas mengenai kesan emosi wataknya dalam drama terbabit.

Sebagai seorang ibu, Amyza mengakui dia agak tersentuh ketika menjayakan babak itu.

“Saya ada naluri keibuan, jadi bila membabitkan babak seperti kehilangan anak dan rasa kecewa dengan hidup serta suami, perasaan sedih itu memang akan ada. Memang banyak kalilah saya menangis dalam drama ini,” katanya.

Amyza turut mendedahkan peranannya dalam drama yang bakal menemui penonton pada bulan Ramadan itu akan meruntun jiwa penonton apabila dia memegang watak sebagai ibu angkat kepada Husna yang dilakonkan Puteri Balqis yang mesra disapa Aqish.

Bercerita lanjut mengenai watak terbabit, Amyza berkata, konflik bermula apabila karakternya disahkan oleh doktor tidak lagi mampu mengandung buat selama-lamanya selepas kehilangan anak pertama dalam kandungan.

“Dia (watak yang dibawanya) mengandung anak pertama, namun selepas berjumpa doktor, dia dimaklumkan berita sedih bahawa dia tak boleh lagi mengandung untuk selamanya.

“Bagaimanapun, sudah tertulis rezekinya apabila dia menemui seorang bayi yang ditinggalkan individu di hadapan rumahnya,” katanya.

Pertama kali digandingkan dalam satu naskhah, Amyza mengakui bukan tugas mudah untuk membina keserasian bersama Aqish, menerusi drama berkenaan.

Amyza berkata, memandangkan ini adalah pertemuan sulung mereka di set penggambaran, terdapat banyak babak mencabar yang memerlukan mereka saling memahami rentak lakonan masing-masing.

“Banyak babak yang mencabar buat kami berdua sebab ini kali pertama kami berjumpa dan berlakon bersama. Bagi saya, untuk membangunkan ‘chemistry’ (keserasian) bukan mudah.

“Kami saling mengkaji karakter masing-masing, bagaimana dia di luar set dan bagaimana dalam watak. Saya juga perlu lihat cara dia ‘memberi’ dan bagaimana dia menerima apa yang saya sampaikan dalam lakonan,” katanya.

Bagaimanapun, Amyza menyifatkan Aqish sebagai seorang pelakon yang sangat profesional dan memudahkan urusan kerja di lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top