Misi buru penanda 0 kilometer

Misi buru penanda 0 kilometer

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Ride (menunggang motosikal) ini bukan sekadar melihat dunia. Kita menikmati keindahan ciptaan Allah, namun dalam masa sama jangan sesekali lupa tanggungjawab kita kepada-Nya,” kata Othman Jalaluddin Abdul Rahman, 43.

Pegangan itu menjadi prinsip utama Othman sepanjang ekspedisi motosikal mengelilingi Semenanjung Malaysia bersama dua rakannya, Mohd Rafiq Mohd Mokhtar, 43, dan Mohd Arif Abdul Rahman, 42, sejauh 2,113 kilometer selama lima hari empat malam, baru-baru ini.

Lebih menarik, mereka tidak sekadar menunggang tanpa arah, sebaliknya menetapkan misi unik memburu batu penanda 0 kilometer di setiap ibu negeri yang dikunjungi.

Perkongsian pengalaman di akaun TikTok Othman Jalaluddin turut mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet yang teruja melihat kelainan misi ekspedisi berkenaan.

Batu penanda 0 km di Malaysia adalah mercu tanda sejarah yang menjadi titik rujukan pusat bagi mengukur jarak jalan raya ke seluruh kawasan.

Othman yang menunggang motosikal jenis Triumph Speed Twin 900 berkata, pengembaraan itu bermula pada 30 Disember lalu dengan memilih bergerak dalam kumpulan kecil kerana lebih mudah mengurus masa, rehat dan pergerakan berbanding konvoi besar.

“Saya memulakan perjalanan secara solo dari Sungai Buloh, Selangor sebelum bertemu dua rakan di Hentian Gunung Semanggol, Perak.

“Kami kemudian menuju ke lokasi pertama di Butterworth, Pulau Pinang sebelum bergerak ke Kangar, Perlis dan berpatah balik ke Alor Setar, Kedah untuk bermalam.

“Pada keesokan hari, perjalanan diteruskan ke Kota Bharu, Kelantan dan diikuti ke negeri lain pada beberapa hari berikutnya sehingga kami menamatkan ekspedisi pada 3 Januari lalu,” katanya.

Menurutnya, idea memburu 0 km tercetus secara spontan oleh Mohd Rafiq mencadangkan supaya perjalanan itu mempunyai sasaran jelas, bukan sekadar menunggang tanpa destinasi khusus.

“Biasanya apabila berkonvoi motosikal, fokus lebih kepada lokasi makan popular atau tempat viral. Namun untuk ekspedisi ini, kami membuat kelainan dengan terus ke titik 0 km di setiap negeri.

“Ini pertama kali saya melakukan ekspedisi seumpama ini. Apabila destinasi ditetapkan dengan jelas, kepuasan yang diperoleh lebih besar apabila berjaya sampai ke lokasi itu dengan selamat,” katanya.

Sepanjang ekspedisi itu, mereka berjaya menjejak 11 batu penanda 0 km termasuk di Butterworth, Kangar, Alor Setar dan Kota Bharu.

“Untuk mencari lokasi batu penanda ini, kami menggunakan aplikasi Google Maps. Bagi memudahkan pencarian, kami mencari pejabat pos lama berhampiran kerana kebiasaannya batu penanda ini ditempatkan di situ.

“Alhamdulillah, ekspedisi berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar kecuali berdepan hujan di Terengganu. Cuma kami tidak sempat melengkapkan misi untuk kesemua 12 batu penanda di Semenanjung Malaysia kerana kekangan masa untuk ke lokasi terakhir di Selangor,” katanya.

Ditanya kepuasan yang diperoleh, Othman berkata, pengembaraan itu bukan pada jarak yang ditempuh, tetapi momen indah bersama rakan serta peluang menunaikan solat berjemaah di masjid di negeri berbeza.

“Apabila ‘ride’ jauh seperti ini, selain dapat ‘healing’, kita dapat menikmati kebesaran Allah di depan mata. Tapi dalam masa sama, jangan lupa tanggungjawab kita kepada-Nya,” katanya.

Ditanya perancangan seterusnya, dia tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan ekspedisi memburu batu penanda 0 km di lokasi lain di seluruh Malaysia dari semasa ke semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top