Perluas keupayaan selenggara, baik pulih pesawat di Asia-Pasifik

Perluas keupayaan selenggara, baik pulih pesawat di Asia-Pasifik

Kuala Lumpur: MAB Engineering Services, cabang kejuruteraan Malaysia Aviation Group (MAG) menandatangani kerjasama selama lima tahun dengan Boeing di Pameran Udara Singapura 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi, Singapura.

Perjanjian ini memperluaskan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia-Pasifik.

MAB Engineering Services akan berperanan sebagai rakan serantau bagi potensi kerja MRO pada masa hadapan bersama Boeing, serta menyediakan sokongan yang menjimatkan kos, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada syarikat penerbangan.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pengendali pesawat Boeing di seluruh Asia-Pasifik, apabila permintaan terhadap perkhidmatan MRO yang komprehensif terus meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan (MAG), Mohd Nadziruddin Mohd Basri berkata, perjanjian ini mencerminkan keyakinan yang diberikan terhadap warga kerja, kepakaran serta piawaian, di samping memajukan aspirasi Malaysia untuk diiktiraf di peringkat global sebagai hab penyelesaian MRO dan kecemerlangan penerbangan.

“Perjanjian ini membantu memperkukuh keupayaan untuk memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat bagi penyelesaian MRO yang menyeluruh, selain meningkatkan kebolehpercayaan operasi untuk pelanggan syarikat penerbangan,” katanya.

Bagi MAB Engineering Services, ia membuka akses kepada rangkaian armada global Boeing, mengukuhkan pengaruhnya sebagai penyedia MRO serantau yang dipercayai, serta memantapkan kedudukan jangka panjangnya dalam ekosistem penerbangan Asia-Pasifik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top