Selepas dua kaki dipotong, kena dialisis pula

Selepas dua kaki dipotong, kena dialisis pula

am@hmetro.com.my

Machang: Selepas kedua-dua kaki dipotong hingga paras lutut akibat komplikasi kencing manis dan jangkitan serius, Hazrizul Abdul Rahman, 49, kini perlu bergantung sepenuhnya kepada isterinya dalam menguruskan kehidupan seharian.

Hazrizul berkata, kekuatan serta pengorbanan isterinya, Fauziah Ahmad, 43, menjadi sumber semangat yang menguatkan dia untuk terus bertahan apabila wanita itu sanggup memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan bekerja keras mencari rezeki demi kelangsungan hidup serta memastikan masa depan anak-anak mereka terjamin.

Menceritakan keadaannya, Hazrizul berkata, tujuh tahun lalu kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat komplikasi kencing manis, namun ketika itu dia masih mampu bekerja dan menyara keluarga walaupun hanya menggunakan sebelah kaki.

“Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, saya sekali lagi diuji apabila ibu jari kaki kanan terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman pada tulang, namun keadaan bertambah buruk apabila tumit kaki yang pada awalnya melecur dan mengeluarkan air bisa menjadi berlubang selepas dicuci, sebelum bertukar hitam.

“Pada masa sama, hasil pemeriksaan X-ray di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai juga mendapati tulang tumit saya patah.

“Susulan itu, pada 5 Januari lalu, kaki kanan saya terpaksa dipotong hingga paras lutut bagi mengelakkan jangkitan merebak, komplikasi lebih serius serta mempercepatkan proses penyembuhan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Tiu.

Terdahulu, keluarga berkenaan disantuni Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang bertanya khabar mengenai keperluan mereka sekeluarga bagi meringankan beban ditanggung.

Bapa kepada empat anak ini berkata, selepas menjalani pembedahan memotong kaki kanan, dia perlu menjalani rawatan cucian luka setiap dua hari sekali di Hospital Machang dengan ditemani isterinya sehingga keadaan lukanya benar-benar pulih.

“Saya bukan saja kehilangan kedua-dua belah kaki, tetapi turut diuji dengan penyakit buah pinggang tahap akhir sejak dua tahun lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di sebuah klinik swasta.

“Mujurlah kos rawatan dialisis ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung selain bergantung pada pencen ilat sebanyak RM750 sebulan,” katanya.

Katanya, disebabkan desakan serta kekangan kewangan, dia juga terpaksa menjual set sistem bunyi (PA system) dengan harga RM2,000 bagi menampung keperluan hidup mereka sekeluarga.

“Mujurlah anak-anak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan yang boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan mereka.

“Saya kini sudah tidak mampu bekerja. Apa yang membuatkan saya terus kuat ialah sokongan dan semangat isteri. Pengorbanannya memang tiada tandingan,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, isterinya, Fauziah berkata, sejak suaminya sakit, dia memikul sepenuhnya tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan berniaga makanan panas bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam di perkarangan rumahnya.

“Pendapatan harian yang diperoleh tidak menentu bergantung kepada pelanggan dan ada kalanya saya hanya mampu memperoleh sekitar RM100 hasil daripada jualan masakan panas.

“Walaupun penat, saya tetap berniaga demi kelangsungan hidup kami anak-beranak. Selain menguruskan suami, saya juga perlu menjaga abang ipar, Zaidi Abdul Rahman, 54, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental,” katanya.

Katanya, tanggungjawab yang dipikul itu bukan saja menuntut tenaga serta masa, malah kesabaran yang tinggi, namun dia reda dan tabah demi memastikan kebajikan keluarga terus terjaga.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0399541000426307 atas nama Hazrizul Abdul Rahman atau menghubunginya di 010-798 6233.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top