Aktiviti pengilangan arak tanpa lesen lebih RM700,000 tumpas

Aktiviti pengilangan arak tanpa lesen lebih RM700,000 tumpas

am@hmetro.com.my

Butterworth: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan aktiviti pengilangan arak tanpa lesen bernilai lebih RM700,000 dalam serbuan sebuah premis yang dijadikan kilang mini di kawasan penanaman kelapa sawit dekat Sungai Dua, di sini, 6 Januari lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, sejumlah 10,391 botol atau 4,208.7 liter minuman keras jenis ‘whisky’ yang ditampal dengan setem cukai palsu dirampas untuk tindakan lanjut.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali, berkata serbuan itu dijalankan pegawai Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri.

“Hasil pemeriksaan menjumpai botol-botol dilekatkan dengan label minuman keras pelbagai jenama.

“Dalam serbuan itu, turut ditemui peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses minuman keras termasuk tong berisi etanol, gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan minuman keras, mesin pemasang penutup dan pelekat label.

“Kesemua barangan itu kemudian disita untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada sidang media di Perkarangan Lobi Kompleks Pencegahan Negeri di Perai, di sini, hari ini.

Katanya, semasa serbuan premis itu didapati kosong namun berdasarkan semakan pada bil utiliti yang ditemui mendapati ia berkemungkinan milik warga tempatan.

“Usaha untuk mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 74(1)(f) akta sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top